Kenyataan Umum
22 Januari 2013
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Kebangsaan mengucapkan tahniah buat anak muda dari Segmentasi Mahasiswa SAMM,
Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan INSTEF di atas kerjasama utuh
untuk menjayakan sebuah forum “Kebebasan Akademik dan Hak Asasi” yang akan
berlangsung jam 8 malam ini di KLSCAH.
Dengan hasrat mempertemukan semula dua ikon yang bertembung idealisma
dalam satu forum di UUM bulan lalu sehingga menerbitkan sebuah fenomena, forum
malam ini merupakan medan terbaik untuk Sharifah Zohra Jabeen dan KS Bawani
berhujah dengan tatacara yang sebenar. Sharifah Zohra dari Suara Wanita 1
Malaysia (SW1M) manakala KS Bawani pula aktivis Jaringan Rakyat Tertindas
(JERIT), adalah satu pertembungan antara wakil dua NGO yang dikira sepadan.
Malah forum ini juga membuka ruang yang begitu meluas kepada SW1M dan JERIT
untuk memperkenalkan roh perjuangan masing-masing.
Mutaakhir ini kita sering mendengar beberapa kenyataan yang dikeluarkan
secara sehala oleh Sharifah Zohra. Kenyataan berbaur tagihan simpati dari
Sharifah Zohra kononnya penyebaran klip-video ‘listen’ itu sebuah taktik
licik yang berjaya membiakkan tindakan yang mengutuk, membenci, dengan
memalukan dan mengejek seorang wanita yang tidak bersalah (merujuk kepada
dirinya).
Kemudian Sharifah tampil lagi dengan mengatakan sedia untuk memaafkan
semua orang dan akhir sekali Sharifah membuat telahan bahawa KS Bawani
sengaja “menyusup untuk mencetuskan provokasi” dalam forum kontroversi 8
Januari lalu. Walaupun berbunyi agak songsang dan angkuh namun ianya
adalah sebuah ekspresi kekecewaan mungkin menyedari tiada ruang yang konklusif
untuk Sharifah Zohra membela diri.
Maka atas sebab itu, SAMM melalui Segmentasi Mahasiswa menyediakan lapangan
yang terbaik cukup luas untuk Syarifah Zohra menyatakan segala pandangan dan
meluahkan kecelaruan yang bermain di minda masyarakat umum. Adil untuk semua
pihak, KS Bawani juga berpeluang menjawab telahan sehala dari Sharifah Zohra
menjadikan pertemuan ini cukup menarik dan saling melengkapi. Forum malam ini
juga menjadi medan sesuai untuk semua pihak juga di atas keperluan dan
permintaan rakyat seluruh negara, demi mendengar sendiri lontaran idea yang
terhasil dari persediaan yang cukup, bukan secara spontan sepertimana fenomena
‘listen’ terhasil.
Melalui respon dari pelbagai pihak, forum “Kebebasan Akademik dan Hak
Asasi” ini mendapat sambutan yang sangat luar biasa malah mengundang kehadiran
pelbagai saluran media untuk membawakan cetusan idea malam ini keudara secara
langsung ke seluruh negara. Forum malam ini bukan lagi sekadar medan
percambahan ilmiah, tetapi menjadi tumpuan utama hingga ke peringkat
antarabangsa kerana wakil media dari Singapura, Indonesia dan Australia juga
menyatakan kesediaan untuk hadir.
Penolakkan
Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada sebarang penolakkan rasmi dari
panel-panel jemputan, yang bermakna semua panel sedia untuk hadir. KS Bawani
telah menyatakan kesediaan lebih awal untuk menjadi panel forum, begitu juga
dengan Prof Dr Aziz Bari. Dalam kes Sharifah, surat jemputan telah difax dan
dihantar dengan serahan tangan ke pejabat SW1M dengan dikembalikan satu salinan
penerimaan bersama cop dan tandatangan. Penyelaras Mahasiswa SAMM, Wan Farel
yang hadir ke pejabat SW1M mengesahkan tiada sebarang tanda penolakkan dari
pihak SW1M malah disambut dengan baik oleh staf yang bertugas.
Hanya secara lisan diketahui dari beberapa portal berita yang menyatakan
Sharifah Zohra tidak sudi untuk bertemu KS Bawani dalam aksi debat mahupun
forum. Jika benar Sharifah mengambil keputusan untuk tidak tampil malam ini,
itu adalah haknya dan kita wajar hormati. Apa yang termampu telah disediakan
ruangan yang selesa untuk semua, namun bukanlah sehingga mengampu untuk
Sharifah Zohra hadir malam ini. Terpulanglah kepada tuan punya badan untuk
menunjuk keberanian sebenar yang kena pada tempatnya kerana kehadiran Sharifah
Zohra malam ini seribu kali lebih baik daripada hanya menyorok di sebalik
tembok dan hanya berdehem dengan kenyataan sehala yang sebenarnya lebih
mengeruh keadaan.
Harus semua tidak lupa, bagaimana Ketua
Pemuda Umno mencemuh dan memperlekeh Sharifah Zohra walaupun susuk ini cuba
untuk membela pihak kerajaan, malah secara terbuka Khairy menghina SW1M dengan
mengatakan NGO tersebut tidak dikenali dan tidak mewakili kerajaan. Timbalan
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah juga memberikan respon
negetif yang mengundang jenaka apabila cuba menjauhkan diri dari entiti bernama
SW1M, termasuklah yang bernama Sharifah Zohra. Mungkin forum malam ini boleh
menjadi medan untuk menyentap keegoan mereka yang prejudis, itupun jika peluang
direbut baik oleh Sharifah Zohra. Mungkin malam ini maruah SW1M boleh ditebus
semahunya kerana malam ini, satu Malaysia akan dengar dan ‘listen’.
Akhir sekali perlu ditegaskan bahawa,
walaupun tanpa kehadiran Sharifah Zohra forum akan tetap berlangsung dan SAMM
Kebangsaan yakin forum tetap dimeriahkan oleh panelis yang membuktikan
keberanian itu demi kebenaran khususnya buat KS Bawani dan juga seorang penterjemah
undang-undang yang juga berani menongkah arus iaitu Prof Dr Aziz Bari. Kepada
Sharifah Zohra SAMM Kebangsaan mengucapkan selamat maju jaya, semoga mampu
menerajui SW1M dengan baik dan tidak punya masalah seperti burung
yang kakinya terikat.
SAMM Kebangsaan juga menjemput semua pihak termasuk pengamal media untuk
terus hadir malam ini ke Dewan Cina KLSCAH tanpa prejudis terhadap kehadiran
Sharifah Zohra Jabeen.
Sekian,
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM
twitter: @edyesdotcom @SAMMalaysia
email: samm4anakmuda@gmail.com