Tuesday, January 12, 2010

Sistem Harga Petrol Dua Peringkat Tidak Munasabah

By: Dr Mohamad Khir Toyo

1. Kerajaan dijangka mengemukakan pengenalan harga petrol dua peringkat (Two-tier pricing). Satu peringkat ialah harga petrol yang lebih rendah daripada harga pasaran. Manakala yang kedua ditahap harga pasaran.

2. Saya difahamkan berdasarkan cadangan ini setiap stesen minyak di negara ini akan mempunyai dua sistem dan dua pam yang berasingan membabitkan:
a. Pam 1 - kereta biasa dengan harga subsidi.
b. Pam 2 - Kereta mewah dan kereta negara jiran dengan harga pasaran.

3. Setakat ini belum jelas mekanisme kereta berapa cc yang akan dikenakan petrol harga pasaran. Terdapat juga cakap-cakap mengenai kemungkinan pembelian menggunakan mykad dan sebagainya.

4. Sungguhpun saya percaya dalam sesetengah hal subsidi perlu dikurangkan namun ia tidak seharusnya melalui proses yang begitu kompleks dan akhirnya menyusahkan rakyat.

5. Sistem ini akan menimbulkan pelbagai isu seperti kegagalan membeli petrol akibat kerosakan cip mykad, perbezaan nama dalam pendaftaran kereta dengan pemandu, sehinggalah kepada percubaan untuk menipu sistem dan sebagainya.

6. Ini juga akan menggalakkan penjualan petrol di pasar gelap. Mereka yang ingin membuat untung akan membeli petrol subsidi dengan kereta yang rendah cc secara banyak melalui pengubahsuaian tangki dan menjual kepada pemilik kereta mewah dengan harga lebih rendah dari harga pasaran.

7. Jumlah stesen minyak yang banyak di seluruh negara menyukarkan penguatkuasa mengawasi penjualan petrol agar mematuhi sistem yang direka. Malah saya percaya akan ada pemilik stesen minyak yang akan menjual harga yang rendah kepada kereta mewah.

8. Saya khuatir akhirnya nanti sistem yang dirancang untuk mengurangkan subsidi dan menambah pendapatan negara di manipulasi dan lebih merugikan negara.

9. Oleh sebab ia belum dilaksanakan dan masih di peringkat kajian, saya berharap kerajaan mungkin mempertimbangkan kaedah lain bagi menampung subsidi petrol.

10. Salah satu kaedah yang boleh dipertimbangkan ialah mengenakan cukai kereta pelbagai peringkat mengikut CC. Kereta yang cc lebih besar maka lebih besar bayaran dikenakan. Kerajaan boleh menganggarkan satu angka yang dianggap dapat menampung subsidi petrol kereta jenis ini dalam setahun dan dimasukkan ke dalam cukai jalan.

11. Jika tidak dimasukkan dalam cukai jalan, kerajaan boleh mewujudkan "Levi Petrol" yang perlu dibayar setiap tahun semasa memperbaharui cukai jalan. Saya cadangkan levi ini dikenakan ke atas kereta yang mempunyai CC 2000 ke atas.

12. Demikian juga bagi kereta negara jiran. Di sebalik mewujudkan sistem pam yang berlainan serta peraturan tahap petrol di dalam tangki, kerajaan hanya perlu mengenakan satu levi yang dianggap munasabah bagi menampung kos penggunaan petrol semasa kereta tersebut berada di Malaysia.

13. Disebalik menyedia penguatkuasa untuk memantau peraturan petrol untuk kereta negara jiran, kerajaan boleh mengambil jalan yang lebih berkesan dengan mengenakan levi petrol. Ini bermakna kerajaan mungkin boleh mengenakan levi masuk seperti RM 100 sehari, atau apa-apa jumlah yang dianggap munasabah, kepada kereta negara luar.

14. Saya percaya kaedah levi ini lebih munasabah berbanding mengenakan sistem penjualan dua peringkat harga yang sangat sukar dipantau dan diambil tindakannanti. Melalui proses ini kutipan hasil kerajaan lebih efisyen dan tidak memerlukan penguatkuasa yang ramai. Peluang untuk memanipulasi dan menipu juga sangat tipis.

No comments: