Wednesday, October 26, 2011

Jadikan Laporan Audit KPI Tolak BN

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Okt: Dewan Pemuda PAS menggesa rakyat di negara ini menjadikan Laporan Ketua Audit Negara 2010 sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk menilai kecekapan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, daripada Laporan Ketua Audit Negara 2010, didapati terdapat banyak kelemahan, kepincangan, ketirisan serta kepincangan dalam projek-projek pelbagai kementerian serta agensi kerajaan. "Di sebalik pembentangan Bajet ‘gula-gula’ pilihan raya 2012, yang dianggap ramai sebagai bajet rakyat kerana banyak peruntukan 'one off' untuk rakyat, Laporan Ketua Audit Negara 2010 menceritakan segala-galanya.

"Tidak hairanlah, Laporan Ketua Audit Negara 2010 gagal dibentangkan pada masa yang ditetapkan iaitu semasa Bajet 2011 tempo hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.Beliau merujuk kepada laporan bahawa RM 160.7 juta yang telah diululuskan oleh Kementerian Pelajaran untuk membina 300 makmal komputer, namun hanya 2 buah makmal sahaja yang siap sementara peralatan ICT yang dibekalkan sejak 3 tahun lepas masih belum dapat digunakan.Kementerian Sumber Asli dan alam Sekitar pula mencatatkan pembelian barangan yang jauh lebih mahal dari harga sebenar.

Antaranya komputer riba dan pencetak dibeli dengan harga RM 11,845 berbanding pasaran RM3,428 iaitu 246% lebih mahal, LCD TV dan DVD Player dengan RM 16,100 berbanding pasaran RM 2,182 iaitu 638% lebih mahal, Radar X-Band dengan RM 47,725 berbanding pasaran RM 8,255 iaitu 478% lebih mahal, Bushnell Binocular dengan RM 56,350 berbanding pasaran RM 2,827, 1893% lebih mahal, Marine Binocular dengan RM 56,350 berbanding pasaran RM 1,940, 2805 % lebih mahal, Walkie-Talkie dengan RM 4,324 berbanding pasaran RM,1561, 177% lebih mahal.

Majlis Sukan Negara pula mencatat pembelian boros dengan membeli 23 ekor kuda baka khas untuk sebuah pertandingan dengan harga RM 5.66 juta. Pembelian ini dibuat secara runding terus tanpa mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan. Namun, 18 ekor darinya tidak melepasi piawaian Federation Equestre International, hanya lima ekor sahaja lulus untuk menyertai pertandingan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula mencatat pengurusan yang tidak telus dan tidak efektif kerana tidak membayar RM 110.67 juta insentif kepada 73 291 orang petani. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pula gagal mengurus secara efektif kerana peralatan yang berjumlah RM 64.69 juta masih terbiar dan tidak dapat digunakan sehingga kini. Akibat itu, sejumlah RM 0.44 juta lagi dibazirkan untuk kawal selia dan insurans bagi menyimpan peralatan tersebut.

Selain itu, terdapat 8 Syarikat GLC yang mengalami penurunan pendapatan selama tiga tahun berturut-turut. Malah, ada syarikat GLC yang mengalami kerugian seperti Syarikat Prasarana Negara, Kertapi Tanah Melayu, Assest Global Network dan Indah Water Konsortium. Jumlah kerugian keseluruhan ialah RM 630.45 Juta.Mengulas lanjut, Suhaimi berkata kesemua fakta yang diberikan hanya sebahagian daripada keseluruhan kelemahan dan kepincangan kerajaan dan ternyata saban tahun negara ditadbir oleh pemimpin yang tidak cekap, tidak amanah, efisyen dan konsisten.

"Amalan boros, membazir sudah seakan sebati dalam diri pemimpin negara hari ini. Harta rakyat seumpama harta ‘mak bapak’ mereka yang boleh diagih sesuka hati mereka."Cukuplah negara ditadbir oleh mereka yang kurang berkemampuan, dan berikan ruang pula buat Pakatan Rakyat mentadbir negara," tegasnya.

Tuesday, October 25, 2011

Najib Hanya Bersandiwara Tarik Balik Kes Aziz Bari


Oleh: Aziz Muda


KUALA LUMPUR, 25 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat hanya bersandiwara baik dengan mengarahkan Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin menarik balik penggantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari, semalam.


Walaupun penggantungannya telah ditarik balik, Dr Aziz masih terus menghadapi pelbagai tekanan termasuk terus disiasat oleh pihak polis dan Suruhanjaya Multimedia yang menemuinya di rumah dan dipelbagai tempat.


Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, selain itu, Dr Aziz turut mengalami kepayahan kerana terpaksa mengajar tanpa peralatan penting, khususnya laptopnya akibat diambil oleh pihak berkuasa untuk tujuan penyiasatan.


Menurut beliau, dalam keadaan seperti itu, sesiapa pun dapat bayangkan betapa rumitnya keadaan Dr Aziz yang terpaksa meneruskan kembali tugasnya untuk mengajar para pelajarnya yang akan mendudukui peperiksaan tidak lama lagi.


Katanya, tindakan pihak kerajaan terhadap pakar Perlembagaan itu tidak ubah seperti berhadapan dengan penjenayah kerana terus disiasat tanpa batasan masa terutama oleh dua agansi terbabit walaupun penggantungannya telah ditarik balik.


"Dengan itu, tidak hairanlah jika Dr Aziz Bari sendiri turut bertanya, "kenapa aku terus disiasat? Adakah aku ini penjenayah?" yang jelas menggambarkan tekanan yang dialami olehnya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.


Berdasarkan fenomena yang berlaku, menurut beliau, orang ramai pasti tertanya sama ada arahan Najib supaya penggantungan terhadap Dr Aziz itu ditarik balik bertolak dari sikap baiknya sendiri atau mempunyai tujuan tertentu.


Katanya, yang jelas kelihatan kepada orang ramai, arahan Najib itu bukan berpunca dari sikap baiknya sendiri, tetapi hanya untuk menunjukkan kebaikannya kepada orang ramai bagi melepaskan diri dari tekanan yang dialaminya ekoran penggantungan terhadap Aziz.


"Datuk Seri Najib sendiri cukup faham, tindakan penggantungan terhadap pakar Perlembagaan itu telah menimbulkan kemarahan para mahasiswa dan orang ramai sehingga boleh menjejaskan Umno BN.


"Untuk menunjukkan dia baik dan melepaskan dirinya dari tekanan akibat tindakannya yang tidak popular itu, Najib terpaksa mengarahkan Rektor UIA menarik balik penggantungan terhadap Dr Aziz Bari, tetapi dalam masa yang sama meletakkan Dr Aziz terus berada dalam tekanan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.


Kini setelah penggantungan itu ditarik balik, menurutnya, Dr Aziz terpaksa membeli kumpoter khususnya laptop lain untuk keperluan mengajar, tetapi laptop barunya itu tentunya ketiadaan data-data yang diperlukan yang disimpannya sendiri untuk mengajar.


Surat penggantungan tugas yang diberikan oleh UIA kepada Aziz baru-baru ini, katanya, jelas membuktikan ahli akademik itu akan terus disiasat oleh pihak polis dan Suruhanjaya Multimedia secara berpanjangan dan pada bila-bila masa serta tempat walaupun penggantungan terhadapnya telah ditarik balik.


"Ini meletakkan Dr Aziz Bari terus berada dalam tekanan hanya disebabkan pakar Perlembagaan itu mengeluarkan pandangan akademiknya baru-baru ini berhubung suatu isu," ujar beliau.


Dr Aziz Bari, tegas beliau, merupakan pihak yang menjadi mangsa kesilapan tindakan Kerajaan BN, manakala untuk membolehkan pemangsa pulih tidak semudah hanya dengan menarik balik hukuman penggantungan tugas terhadapnya, lebih-lebih lagi apabila beliau terus dikenakan tekanan yang tidak sewajarnya.


Pensyarah kanan yang telah 22 tahun berkhidmat di UIA itu, katanya, adalah pakar Perlembagaan yang cukup dihormati di dalam dan luar negara dan tidak sewajarnya diperlakukan sedemikian setelah mengeluarkan pandangan yang baik dari sudut akademik bagi mengulas sesuatu isu untuk kepentingan Negara.