Tuesday, October 25, 2011

Najib Hanya Bersandiwara Tarik Balik Kes Aziz Bari


Oleh: Aziz Muda


KUALA LUMPUR, 25 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat hanya bersandiwara baik dengan mengarahkan Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin menarik balik penggantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari, semalam.


Walaupun penggantungannya telah ditarik balik, Dr Aziz masih terus menghadapi pelbagai tekanan termasuk terus disiasat oleh pihak polis dan Suruhanjaya Multimedia yang menemuinya di rumah dan dipelbagai tempat.


Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, selain itu, Dr Aziz turut mengalami kepayahan kerana terpaksa mengajar tanpa peralatan penting, khususnya laptopnya akibat diambil oleh pihak berkuasa untuk tujuan penyiasatan.


Menurut beliau, dalam keadaan seperti itu, sesiapa pun dapat bayangkan betapa rumitnya keadaan Dr Aziz yang terpaksa meneruskan kembali tugasnya untuk mengajar para pelajarnya yang akan mendudukui peperiksaan tidak lama lagi.


Katanya, tindakan pihak kerajaan terhadap pakar Perlembagaan itu tidak ubah seperti berhadapan dengan penjenayah kerana terus disiasat tanpa batasan masa terutama oleh dua agansi terbabit walaupun penggantungannya telah ditarik balik.


"Dengan itu, tidak hairanlah jika Dr Aziz Bari sendiri turut bertanya, "kenapa aku terus disiasat? Adakah aku ini penjenayah?" yang jelas menggambarkan tekanan yang dialami olehnya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.


Berdasarkan fenomena yang berlaku, menurut beliau, orang ramai pasti tertanya sama ada arahan Najib supaya penggantungan terhadap Dr Aziz itu ditarik balik bertolak dari sikap baiknya sendiri atau mempunyai tujuan tertentu.


Katanya, yang jelas kelihatan kepada orang ramai, arahan Najib itu bukan berpunca dari sikap baiknya sendiri, tetapi hanya untuk menunjukkan kebaikannya kepada orang ramai bagi melepaskan diri dari tekanan yang dialaminya ekoran penggantungan terhadap Aziz.


"Datuk Seri Najib sendiri cukup faham, tindakan penggantungan terhadap pakar Perlembagaan itu telah menimbulkan kemarahan para mahasiswa dan orang ramai sehingga boleh menjejaskan Umno BN.


"Untuk menunjukkan dia baik dan melepaskan dirinya dari tekanan akibat tindakannya yang tidak popular itu, Najib terpaksa mengarahkan Rektor UIA menarik balik penggantungan terhadap Dr Aziz Bari, tetapi dalam masa yang sama meletakkan Dr Aziz terus berada dalam tekanan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.


Kini setelah penggantungan itu ditarik balik, menurutnya, Dr Aziz terpaksa membeli kumpoter khususnya laptop lain untuk keperluan mengajar, tetapi laptop barunya itu tentunya ketiadaan data-data yang diperlukan yang disimpannya sendiri untuk mengajar.


Surat penggantungan tugas yang diberikan oleh UIA kepada Aziz baru-baru ini, katanya, jelas membuktikan ahli akademik itu akan terus disiasat oleh pihak polis dan Suruhanjaya Multimedia secara berpanjangan dan pada bila-bila masa serta tempat walaupun penggantungan terhadapnya telah ditarik balik.


"Ini meletakkan Dr Aziz Bari terus berada dalam tekanan hanya disebabkan pakar Perlembagaan itu mengeluarkan pandangan akademiknya baru-baru ini berhubung suatu isu," ujar beliau.


Dr Aziz Bari, tegas beliau, merupakan pihak yang menjadi mangsa kesilapan tindakan Kerajaan BN, manakala untuk membolehkan pemangsa pulih tidak semudah hanya dengan menarik balik hukuman penggantungan tugas terhadapnya, lebih-lebih lagi apabila beliau terus dikenakan tekanan yang tidak sewajarnya.


Pensyarah kanan yang telah 22 tahun berkhidmat di UIA itu, katanya, adalah pakar Perlembagaan yang cukup dihormati di dalam dan luar negara dan tidak sewajarnya diperlakukan sedemikian setelah mengeluarkan pandangan yang baik dari sudut akademik bagi mengulas sesuatu isu untuk kepentingan Negara.

No comments: