Sunday, September 15, 2013

Persefakatan Harus Di Perkemaskan Lagi Dengan Pakatan Rakyat: Peringatan Buat PAS

Oleh: Prof Ayus Mohamed Yusoff

Resolusi Ulamak PAS yang bersidang di Kedah pada 14 September 2013 menunjukkan kepada saya betapa pemikiran ‘mereka’ yang mencadangkan resolusi tersebut mengundur ke belakang. Kenyataannya tidak sesuai dengan perkembangan semasa politik negara.

Satu yang kumpulan Ulamak PAS ini tidak sedar ialah PAS mendapat pertambahan bilangan kerusi dalam pilihan raya (PRU) bukanlah kerana kekuatannya bertanding sendirian, tetapi kerana pakatannya dengan beberapa parti pembangkang yang lain. Sejak keluar dari pakatan BN pada tahun 1978, politik PAS tenggelam. PAS cuma kembali pulih dalam persada politik negara apabila bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah dalam PRU 1990, Barisan Alternatif pada tahun 1999 dan Pakatan Rakyat pada tahun 2008 dan 2013.

Sekiranya PAS bertanding bersendirian tanpa sokongan dan kerjasama dengan parti lain, saya yakin PAS akan hanya mendapat sokongan dari segelintir orang Melayu yang totok pemikirannya seperti kumpulan ulamak ini sahaja. Bagi orang Melayu yang sederhana pemikirannya, mereka lebih cenderung menyokong UMNO dan BN kerana kelebihan UMNO ialah tidak memandang serong kepada lebai atau tidak lebainya seseorang.

Satu yang menarik dari resolusi ulamak ini ialah “mencadangkan supaya Tahaaluf Siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat.” Saya ingin sekali cadangan ini dipersetujui oleh kepimpinan PAS dan kita tengok sejauh mana PAS boleh pergi jauh dalam politiknya. Saya rasa PAS akan meroyan beragam selepas itu kerana tidak ada lagi sokongan kepadanya. 

Yang menghairankan saya ialah kenapa pula kumpulan Ulamak ini tidak mencadangkan juga supaya PAS menghentikan kerjasamanya dengan DAP dan sebagai gantinya mencadangkan PAS supaya menggerakkan penyatuannya dengan UMNO. Saya fikir kenyataan seperti itu lebih jelas supaya penyatuan dengan UMNO dapat disegerakan. Ini satu cadangan yang lebih praktikal jika betullah kumpulan ulamak ini mahu PAS terus mendapat tempat perdana dalam politik negara.

Cadangan kumpulan Ulamak ini supaya “jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS sewajarnya daripada kalangan ulama yang memahami dan faqih tentang Islam dan realiti semasa” juga cukup nakal. Apakah kumpulan ulamak ini ingat hanya ulamak sahaja yang memahami Islam dan realiti semasa? Bagi saya, kumpulan inilah yang tidak memahami realiti politik semasa. Di kala rakyat sedang bercakap tentang kewujudan sistem dua parti dalam negara, mereka pula menolaknya. Tindakan kumpulan ini adalah menjauhkan lagi masyarakat dengan PAS dan jika tidak kena dengan caranya boleh menyebabkan ahli dan penyokong PAS lari dari PAS.

Saya hendak sangat tengok ahli PAS lari dari PAS sekiranya kumpulan ulamak jenis ini yang memimpin PAS sebab pemikiran kumpulan seperti ini payah diajar kerana mereka selalu menganggap tindakan mereka sahaja yang Islamik. Bagi kumpulan ini, jika mereka mengutuk atau mengaibkan orang itu dibenarkan, tetapi jika ahli hanya sekadar berbeza pendapat dengan mereka, maka ahli pula yang dituduh tidak taat kepada pemimpin dan melanggar etika parti. Tindakan kumpulan ulamak ini tidak demokratik dan hairannya masih ada ahli yang setia dan mendokong kumpulan pemimpin jenis ini.

Apa jadi jika PAS hanya dikuasai oleh ulamak sahaja? Saya yakin, dalam PRU akan datang rakan pakatannya dalam PR akan meninggalkannya dan kekuatan PAS hanya bakal tinggal kenangan. Maka, untuk seterusnya UMNO dan BNlah yang akan terus menguasai negara.

No comments: