Wednesday, April 27, 2011

Tengok Berita Perdana TV3 Terus Meluat

Oleh: Cicit Hj Mohamad Perak

Tengok Berita Perdana TV3 aja, aku terus meluat. Video seks kononnya DSAI beraksi tak habis-habis dipertontonkan. Apa fasal pemimpin negara gentar sesangat dengan DSAI? Kami rakyat biasa yang sudah lama diperbodohkan oleh para pemimpin negara terkini sudah naik loya dengan tindak tanduk mereka.

Kalau ya pun DSAI terlibat dengan aksi lucah, kami sudah tidak kisah. Kami tetap akan pilih beliau jadi the next PM. Kalau kemudiannya beliau tidak mampu kami boleh gantikan saja dengan siapa-siapa yang layak.

Kalau beliau benar-benar lakukan, itu adalah urusannya dengan Allah swt di hari penghabisan nanti, iatu sekiranya Mahkamah Syariah tidak ada sebarang bukti kukuh untuk mengadili atau menghukum beliau berlandaskan hukum Islam.

Yang penting bagi kami rakyat Malayusia, adalah kami tidak mahu lagi pemimpin yang ada sekarang berada ditampuk pemerintahan terlalu lama dengan jawatan PM persis harta pusaka PM-PM yang terdahulu. Mereka ingat rakyat seperti kami semuanya bodoh, tidak boleh berfikir secara ilmiah dan bijaksana.

Kami tidak mahu muka-muka rasuah atau kaki membeli belah di atas sana! Apalagi yang suka bermuka-muka dihadapan rakyat. Bila disuruh mengundi (parti pemerintah), semua pemimpin macam duit bukan masalah untuk ditaburkan kepada rakyat.

"Rakyat didahulukan dengan segala bebanan kos kerajaan. Bila banyak duit, kebanyakan pemimpin kerajaan berpoya-poya di luar negara atas dasar lawatan sambil kerja!"

Tuesday, April 26, 2011

Selaraskan Fatwa Agar Tidak Jadi Bahan Gurauan

Harakahdaily

KUANTAN, 26 April:
Sesuatu fatwa yang ingin diputuskan perlu diselaraskan terlebih dahulu untuk mengelakkannya menjadi bahan gurauan dan mainan ketawa orang ramai, nasihat Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini, Tuan Ibrahim berkata walaupun terdapat sedikit kesukaran dalam menyelaraskan fatwa kerana ada yang tertakluk di dalam bidang kuasa negeri, namun perkara ini perlu diselesaikan dengan baik dan tegas kerana fatwa yang berbeza akan menyusahkan rakyat.

“Biasanya kalau asas pengharaman itu sama, maka tidak timbul fatwa berbeza antara negeri-negeri.

Akan tetapi, disebabkan tiadanya penyelarasan antara ahli-Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, maka terjadinya perkara seperti ada negeri yang terlalu laju dalam memberi fatwa berbanding Majlis Fatwa Kebangsaan. Jadi, implikasi daripada fatwa itu menjadi sangat besar,” terangnya.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut mengambil contoh fatwa larangan merokok di Pahang sebagai hujah betapa pentingnya proses penyelarasan fatwa yang dicadangkannya.

“Seperti Pahang yang mengharamkan merokok, sedangkan negeri lain belum mengharamkannya. Ini bermakna kalau seseorang menghisap rokok, bilamana ia melepas terowong ke Pahang mesti dipadamkan rokoknya,” katanya.

Disebabkan ketidaksetaraan fatwa seperti itu, ujarnya, akan menganiaya sesuatu fatwa sehingga menjadi satu bahan gurauan dan mainan tertawa orang ramai.

“Ini akan merendah-rendahkan sesuatu fatwa itu,” tambah Tuan Ibrahim.

Beliau turut berkata perkara yang sama turut berlaku dalam isu fatwa tarian poco-poco di mana, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria telah terlebih dahulu memutuskan bahawa tarian poco-poco adalah haram untuk orang Muslim di negeri Perak telah menimbulkan pelbagai pertikaian daripada pelbagai pihak.

Perkara ini menjadi lebih mengelirukan untuk umat Islam, Jumaat lalu, apabila Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dipetik sebagai berkata bahawa umat Islam boleh mengamalkan tarian atau senaman itu selagi mematuhi panduan termasuk etika berpakaian, tiada pergaulan bebas, mistik, ritual, kebatinan, tahyul dan khurafat yang boleh jejaskan akidah.

Walaupun berbeza dengan fatwa negeri Perak, Abdul Shukor turut dipetik sebagai berkata bahawa jawatankuasa itu menghormati keputusan negeri tersebut untuk mengharamkan poco-poco sejak Januari lalu.


Namun begitu, perkara ini dinafikan Harrusani hari ini.

Harussani terkejut

“Dalam mesyuarat kita tidak bincangkan langsung pasal tarian poco-poco, apa yang berlaku saya hanya memberikan penerangan kenapa ia diharamkan . . . kita tidak bincangkan secara umum isu ini.

“Sebab itu saya terkejut apabila dalam akhbar kata Majlis Fatwa Kebangsaan benarkan tarian poco-poco di negeri lain, kita tidak bincangkan pun perkara ini... jadi bagaimana boleh kata macam itu,” kata Harussani (gambar) yang dipetik The Malaysian Insider, sambil menambah bahawa beliau sudah mendapatkan penjelasan Abdul Shukor dan dimaklumkan media telah salah faham.

Dalam pandangannya terhadap perkara ini, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa fatwa bukan direka untuk menjaga hati mana-mana pihak dan dibuat berdasarkan garis panduan yang mengikuti peraturan syarak.

“Oleh itu, PAS menggesa seluruh umat Islam menghormati sesuatu fatwa yang telah dikeluarkan,” katanya.

Bagi golongan yang tidak dibekalkan asas agama yang cukup dalam memahami kaedah syarak, beliau menasihatkan mereka untuk membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah syarak untuk pengambilan sesuatu hukum sebelum membuat sebarang ulasan dan pertikaian terhadap fatwa yang dikeluarkan.

“Apakah mereka membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah pengambilan sesuatu hukum terlebih dahulu sebelum mempertikaikannya?

Namun, persoalan ini timbul mungkin kerana kegagalan kerajaan melalui kementerian menjadikan mata pelajaran agama sebagai mata pelajaran teras dalam mana-mana peperiksaan, sehinggakan ada golongan yang tidak memahami agama secara mendalam sanggup mempertikaikan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya dengan kesal.

'Operasi Gugur AF9'

http://badrulaftersix.blogspot.com

25 APRIL 2011

Assalamualaikum dan salam sejahtera!

Saya tidak melihat 'Operasi Gugur' adalah satu kejutan, tapi lebih kepada sebuah drama. Hampir seminggu saya cuba menganalisa, mengenalpasti, mengadili dan bercakap dengan teman-teman, sebelum membuat konklusi ini. Di bawah nanti saya akan huraikan.

Saya juga menonton kembali rakaman dvd konsert-konsert dari musim yang kelima, ketika Kak Ogy, Jee dan Hattan menjadi pengkritik tetap. Sama ada kenyataan atau kebetulan, komen positif dan negatif sering berselang minggu. Adakah pelajar-pelajar ketika itu (dan mungkin AF9 ini) membuat persembahan baik dan buruk berselang minggu, ataupun komen garang itu berselang minggu, Wallahualam.

Untuk konsert minggu ketiga ini, setiap pengkritik diarah memberikan cadangan selepas pelajar membuat persembahan, sama ada mereka dikategorikan dalam 'calon gugur' atau sebaliknya. Juga, VT dimainkan supaya pelajar memberikan cadangan siapa yang patut digugurkan. Ya, selepas kita lagakan persahabatan antara mereka, kita hancurkan semangat mereka! Selepas itu, mari kita 'malukan' lagi mereka dengan memberitahu mereka tidak layak berada di AF!

Satu-satunya perkara yang membuat saya rasa gembira untuk konsert ketiga ini adalah pelajar diberikan peluang untuk memilih sendiri apa yang mereka mahu nyanyikan. Sejak dari awal lagi saya adalah orang yang sering tidak bersetuju dengan banyak pilihan lagu-lagu daripada pihak produksi untuk para pelajar. Kali ini 'kesalahan' itu boleh diletakkan di bahu pelajar itu sendiri.

Kay (Salomé) - 8.5/10 bintang
Ketika Kay menuju ke pentas, saya tidak menyukai baju yang dipakainya yang agak feminin! Kalau dipakaikan dengan sport jacket, pergerakan Kay di atas pentas dengan tarian latin akan lebih cantik. Anyway, Kay sangat bijak dalam soal memilih lagu kerana lagu sebegini adalah lagu competition. Lagu ini disampaikan dengan bagus dan sangat menghiburkan! Dia mengambil kira semua sudut untuk menghiburkan penonton di studio dan di rumah. Staminanya juga bertahan dari awal sehingga habis lagu. One of the best opening performances dalam AF9 setakat ini.

Miza (Sofea Jane) - 5/10 bintang
Dress merah yang dipakai Miza sangat cantik tapi malangnya ia tidak digunakan sepenuhnya oleh Miza untuk mengindahkan lagi persembahan beliau. Props lukisan itu terlalu cliche, malah saya rasa amat mengganggu tumpuan Miza untuk mengawal suara! Sejujurnya suara Miza was all over the place! Bukan dia tidak ada tone yang sedap, tapi dia tak mengawalnya dengan baik. Pilihan lagunya juga salah menyebabkan dia tak dapat menjiwai lagu sepenuhnya.

Aida (Terlalu Istimewa) - 6/10 bintang
One of the gorgeous dresses I've ever seen! Tapi maaf Aida, lagu ini hilang keistimewaannya di tangan Aida. Lagu ini terlalu besar untuk dibawakan oleh Aida yang tidak ada weight pada suaranya. Low note Aida melayang ke sana sini. Satu soalan yang saya teringin sangat nak tanya. Kenapa bila pelajar-pelajar perempuan membuat persembahan lagu-lagu balada, mereka suka buat gaya (okay, ini for the lack of words to use, ya!) 'angkat tangan dan cium ketiak!' Cuba anda buat dan anda akan tahu apa yang saya maksudkan. Itu gaya 80an. Dah out datedlah adik-adik semua!

Raqib (Sebelum Cahaya) - 6.5/10 bintang
Kombinasi warna pakaian Raqib agak menarik. Cuma aksesori yang dipakai di pergelangan tangannya sudah dipakai oleh Kay pada konsert minggu pertama. Tak payah recycle sangatlah ya! Saya tak begitu puas hati dengan lagu pilihan Raqib. Lagu tersebut tidak menampilkan keupayaan Raqib dan saya seperti melihat persembahan ulangtayang beliau minggu lalu. Persembahan Raqib terlalu mendatar dan banyak sangat pitchy untuk sebuah lagu yang simple. Amat rugi kerana Raqib mampu berikan yang lebih baik!

Afif (Kasihnya Laila) - 6/10 bintang
Pembukaan ala 'berzanji' membuat saya terpegun! Tapi sampai di situ saja. Sebaik saja baris pertama dinyanyikan, Afif terus membuat suara 'sengau'. Kenapa? Sungguh saya tak faham. Persembahan Afif pada minggu pertama sangat bagus dan tidak pula ada sedikit pun bunyi sengau. Seriously, I don't get it! Sengau itu membuatkan sebutan Afif, seperti kata Hattan, menjadi muffled! Macam bunyi tebuan yang berdengung. Lagu yang hebat ini menjadi sedikit jenaka bila disertakan dengan tarian gelek yang tidak menjadi. Sebenarnya lagu ini boleh menjadi makanan Afif jika dia menyampaikan sebaik konsert pertama.

Erul (Awan Nano) - 7/10 bintang
Ada sejumlah lagu yang memang diciptakan khusus untuk penyanyi asalnya, dan 'Awan Nano' is one of them. Hanya satu cara untuk menyampaikan lagu sebegini, iaitu dengan menyanyikannya lebih baik daripada penyanyi asal. Tapi, Erul tidak mampu melakukannya. Maaf cakap, interpretasi sesebuah lagu bukan boleh dibuat sewenang-wenangnya mengikut kehendak diri sendiri. Kefahaman Erul tentang lagu ini tidak tepat dan jauh tersasar. Erul juga tak mampu untuk sustain note dengan baik. Ditambah lagi dengan props yang tidak membantu Erul menyanyi dengan sempurna. Kesian Hafiz kena bagi jawapan artis bila ditanya Paknil. Hahahaha.

Lena (Tiada Tangis Lagi) - 8/10 bintang
Bukan satu perkara yang mudah untuk menyanyikan lagu-lagu daripada penyanyi hebat tanahair seperti Amy Search, Dato' Siti Nurhaliza, Ella dan Anuar Zain (sekadar menyebut beberapa nama). Setiap daripada lagu yang mereka sampaikan sudah di cop dengan trademark mereka! Itu yang terjadi dengan Lena yang tidak dapat lari daripada sedikit berlagu seperti Ella. Namun saya pasti Ella akan berbangga dengan persembahan Lena. Dia menghidupkan semangat 'rocker' wanita di atas stage. Persembahan Lena juga penuh keyakinan. Saya juga sukakan pakaian Lena yang membuat dia tidak kelihatan seperti typical rockers!

Azri (Satu) - 9.5/10 bintang
Persembahan Azri adalah persembahan terbaik di konsert ketiga ini. Semuanya lengkap. Dari segi nyanyiannya di sampaikan amat baik. Sebutan bait-bait lagu juga sempurna dan amat jelas. Permainan emosi pada wajahnya juga kena dengan lagu yang disampaikan. Malahan, penggunaan satu-satunya prop iaitu mike-stand di maksimumkan sebaik mungkin. Tumpuan seratus peratus hanya ditujukan pada Azri tanpa mengalih pandangan daripada persembahannya di atas pentas. Saya sangat puas hati!

Amir (Dilema) - 5/10 bintang
Mula-mula saya ingat Amir akan menyanyikan lagu hindustan. Sangat pelik pakaiannya yang tidak langsung ada kena mengena dengan nyanyian mahupun lagu yang disampaikan. Dilema adalah lagu yang 'malap' untuk pertandingan. Tidak ada bahagian pun yang mampu menyerlahkan suara Amir. I was so dissapointed kerana Amir adalah antara pelajar yang saya jangkakan mampu menyerlah di AF9. Ketika mereka duduk di bangku sementara menunggu giliran, saya dapat lihat semangat Amir semakin lama semakin hilang setiap kali ada pelajar lainnya menamakan beliau sebagai pelajar yang patut digugurkan.

Nera (Fly Me To The Moon) - 7.5/10 bintang
Buat pertama kalinya, Nera menyanyi tanpa masalah pitchy. Crooner atau tidak, Frank Sinatra bukanlah seorang yang mempunyai vokal yang outstanding. Dia adalah performer yang mempunyai aura tersendiri. Bukan mudah untuk menyampaikan dalam aura tersebut dan saya rasa tidak perlu pun! Paling penting, Nera membuktikan apa yang boleh dilakukan. Persembahan terbaik beliau setakat ini. Namun masih banyak yang perlu dia berikan.

So yes, pilihan Top 3 saya untuk konsert minggu ketiga adalah Azri, Kay dan Lena. Ini adalah merit yang saya berikan. Anda juga boleh berikan merit anda sendiri. Cuma anda perlu tahu, merit yang saya berikan tidak mampu menyelamatkan sesiapa daripada tersingkir kerana pilihan terletak pada pengundi. Hahahaha. Jadi jangan nak peningkan kepala anda sangat dengan pilihan saya ini.

Berbalik kepada 'Operasi Gugur', boleh saya katakan ia tidak lebih daripada 'extended drama' yang tidak perlu. Banyak perkara yang tidak kena dan tidak difikirkan sebaik mungkin sebelum ia dilaksanakan.

Ketika sessi soal jawab, saya juga ada bertanya 'kenapa Hazama'? Dia hanya ke ujibakat ketika AF4 dan AF5, tetapi dia tidak ada dalam senarai top 40 AF9 pun! Jawapannya kerana Hazama 'passionate' dan ingin belajar di AF. Jadi, kenapa tidak Haider? Saya jamin, dia juga sangat 'passionate'. Beliau pernah berjaya ke prelude AF3 tetapi tidak berjaya terpilih untuk top 14. kemudian dia berjaya lagi ke prelude AF4, tapi juga tidak terpilih untuk ke top 12. Saya tidak mahu menghurai panjang di sini. Semuanya ada di blog peribadi saya seperti tertera di atas.

Apa-apa pun, drama ini sudah pun berlaku, dan sebagai penonton setia AF sejak dari musim pertama lagi, saya menerimanya.

Wassalam.

Najib Baru Sedar Bahaya Rasuah Bila Projek Kroni Habis

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 April: PAS terkejut dengan kenyataan Datuk Najib Tun Razak yang baru sedar tantang bahaya rasuah boleh menjejaskan pendapatan negara.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, mungkin Najib baru sedar rasuah merupakan barah yang boleh membawa kehancuran negara apabila wang negara semakin menguncup, sehingga projek untuk kroni tidak boleh diberikan lagi.

Kerisauan Najib mengenai perkara itu dinyatakan ketika majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) cawangan Pahang di Ibu Pejabat Umno Bahagian Pekan.

“Ucapan Datuk Seri Najib hendak memerangi rasuah dan ketirisan, sama seperti kita menasihat orang miskin untuk berjimat cermat,” kata Idris kepada Harakahdaily.

Sepatutnya, kata beliau nasihat berjimat ketika kaya bukan waktu miskin, sama juga dengan nasihat Najib jangan bercakap tentang bahaya rasuah ketika kantung negara makin kosong dan projek pun semakin kontang.

Katanya, kesan rasuah boleh merbahaya keselamatan negara kerana sempadan akan terbolos, dadah terlepas masuk, maklumat negara tergadai, projek terbengkalai kerana beri pada mereka yang tidak wibawa, kos meningkat, pendapatan negara berkurangan dan banyak lagi bahayanya.

Tambahnya, Kerajaan Barisan Nasional gagal untuk membasmi rasuah kerana ia parti yang hidup dengan rasuah samaada pemilihan parti atau pilihanraya umum.

PAS, ujarnya merasa pelik, apabila kerajaan hendak memerangi rasuah, yang diburu ialah pegawai-pegawai kerajaan.

Baru-baru ini 60 orang pegawai kastam Diraja Malaysia yang diburu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan berhubung kes rasuah dan penggubahan wang haram.

“Persoalannya kenapa pemimpin-pemimpin politik yang berskala jerung tidak diburu. Selalunya yang menjadi mangsa ialah ikan bilis dari kalangan pegawai kerajaan sahaja,” katanya.

Beliau menambah, isu wang PPRT RM32 juta, yang ditangkap ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, sedangkan menterinya, Datuk Annuar Musa entah ke mana.

Begitu juga, katanya yang ditangkap ialah Setiausaha Politik, Datuk Mohd Nor Yaakob yang memiliki wang tunai RM2 juta.

Awas Pencurian Wang Melalui LHDNM

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 26 April: Seluruh anggota masyarakat di negara ini dinasihatkan berhati-hati dengan e-mel (HASIL refund-payment@hasil.gov.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it ) ketika melayari internet, apabila ia telah dikesan sengaja diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri wang orang ramai, terutama wang pembayar cukai.

E-mel yang masih muncul sekali-sekala ketika orang ramai melayari internet itu mengatakan para pembayar cukai layak diberikan bayaran balik sejumlah RM700.

Mereka lalu diminta klik kepada http//62.23.69.2/hasil.gov.my/index.php.htm yang mengarahkan pembayar cukai memberikan butiran diri dan nombor bank mereka.

Seorang pelayar internet yang juga pembaca Harakahdaily, Mohd Zamri Hassan, 45, dari Kuala Lumpur menegaskan, pihak LHDNM sememangnya telah pun membuat penafian mengeluarkan e-mel tersebut menerusi surat edarannya sejak 14 Mac 2010 lalu untuk mengelakkan orang ramai terus tertipu.

Menurut beliau, surat edaran tersebut telah dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi Korporat LHDNM, Mazlan Wan Chik yang menjelaskan tentang pengesahan LHDNM bahawa e-mel tersebut adalah palsu.

"Sebaliknya, ia merupakan aktiviti phising oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri maklumat dan wang pembayar cukai," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Sehubungan itu, menurut beliau, LHDNM turut menasihatkan orang ramai yang menerima e-mel tersebut agar tidak membukanya serta menghapuskannya serta dilarang memberikan sebarang maklumbalas terhadap arahan yang terkandung di dalamnya.

Unit Keselamatan ICT, Jabatan Teknologi Maklumat, LHDNM, katanya dilaporkan telah bertindak pantas dengan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, apabila mengesan aktiviti tersebut dan laman tersebut juga telah dipintas dan ditutup.

"Menerusi surat edaran tersebut turut dijelaskan bahawa kewujudan e-mel tersebut adalah cubaan kali ketiga dari pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu pembayar cukai. Jadi, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati supaya tidak tertipu apabila menerima e-mel tersebut dan e-mel sepertinya," tegasnya.

Sebaliknya, para pembayar cukai sendiri perlu sedar bahawa setiap data dan maklumat pembayar cukai adalah dijamin selamat dalam simpanan LHDNM.

Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan dan kemusykilan berkaitan perkara itu bolehlah berhubung dengan Pusat Khidmat Pelanggan LHDNM di talian 1-300-88-3010 atau melalui e-mel callcentre@hasil.gov.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it .

Namun Mohd Zamri hairan, walaupun tindakan tegas dan pantas dikatakan telah diambil oleh pihak LHDNM dan pihak bertanggungjawab yang lain, beliau dan beberapa orang rakannya masih lagi terkesan e-mel tersebut yang muncul sekali-sekala ketika mereka melayari internet.

"Saya sendiri mujurlah tidak tertipu kerana cepat dimaklumkan oleh rakan saya mengenai perkara itu yang turut forward surat atau e-mel edaran LHDNM itu kepada saya," katanya.

Oleh itu, beliau berharap agar pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan lebih berkesan ke arah mengatasinya agar e-mel tersebut dan yang sepertinya tidak lagi bermaharajalela mengambil kesempatan menipu orang ramai menerusi perkembangan internet atau dunia tanpa sempadan.

Keputusan Dakwaan Liwat 16 Mei 2011

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 April: Pihak pendakwaan selesai menggulung penghujahannya di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah hari ini yang membicarakan kes kontroversial liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malaysiakini melaporkan, selepas mendengar hujah daripada Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan hujah balas daripada peguambela Karpal Singh dan Sankara Nair, Hakim Zabidin kemudiannya menetapkan 16 Mei ini untuk memberikan keputusannya.

Ia sama ada Anwar perlu membela dirinya ataupun beliau akan membuang kes berkenaan.

Sementara itu, kaedah ujian yang diajalankan ke atas sampel DNA 'Lelaki Y' yang kemudiannya disepadankan dengan DNA Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak mengikut piawaian antarabangsa, kata peguam Anwar, Sankara Nair.

Ini kerana, menurut Sankara, kaedah ujian yang dijalankan ahli kimia Jabatan Kimia Malaysia, Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon diragui apabila sela masa yang diambil lebih kurang 97 jam, lapor portal Keadilan Daily.

“Kaedah yang digunakan mereka untuk menjalankan ujian ke atas sampel DNA meragukan. Jarak masa di antara saksi pendakwa ke-25, DSP Jude Pereira mengambil sampel dari Hospital Kuala Lumpur dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia adalah kira-kira 43 jam.

“Jika diambil kira secara keseluruhan, selang masa di antara masa dan tarikh sperma berada di dalam dubur pengadu sehinggalah ia dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia, ia memakan masa selama kira-kira 97 jam (54 jam campur 43 jam),” kata Sankara.

Tambahnya lagi, tiada bukti bahawa peralatan yang digunakan dalam ujian DNA diselenggara dengan baik.

Beliau juga membangkitkan kemungkinan bukti dalam kes Fitnah II itu dipinda kerana pegawai penyiasat, Jude Pereira sudah membuka paket plastik mengandungi calitan putik kapas dari hospital dan membungkusnya semula.

Mengulas lanjut, Sankara berkata sepanjang perbicaraan berlangsung, pendakwa juga gagal membuktikan Saiful berada dalam kondominum yang didakwa tempat kejadian berlaku.

“Tiada bukti ditunjukkan Saiful memasuki bilik berkenaan mahu pun kondominium itu.

“Tiada sesiapa melihat Saiful masuk ke kondominium itu. Malah, pemilik kondominium itu, Hasanuddin tidak melihatnya di kondominium itu,” kata Sankara.

Kata Sankara, berdasarkan rakaman CCTV, pendakwa hanya menunjukkan Saiful keluar dan masuk dari lif kondominium itu – satu perkara yang sememangnya sudah dirancang dari awal lagi.

“Pendakwa perlu membuktikan Saiful sememangnya berada dalam kondominium itu.

“Dia hanya menunjukkan dirinya di kamera kerana ia sudah dirancang. (Dia tahu) Anwar berada di kondominium itu dan dia hanya perlu menunjukkan dirinya di kamera.

“Malah, Saiful sendiri tidak pernah diminta secara khusus oleh Anwar untuk datang ke kondominium itu pada hari berkenaan,” kata Sankara.

Lebih meragukan, Saiful sendiri mengambil masa yang terlalu lama untuk sampai ke kondominium itu pada hari kejadian didakwa berlaku, kata Sankara.

Friday, April 1, 2011

Usah Tersilau Ramainya Kehadiran Ceramah Video Seks

Oleh: Ahmad Lutfi Othman

Hampir semua pemimpin kanan Pakatan Rakyat hadir. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam keadaan agak uzur, tetap bersama kemeriahan malam Selasa lalu, walaupun sekadar membacakan doa dan bertakbir. Puluhan ribu memenuhi Stadium Melawati, Shah Alam. Program solat hajat dan ceramah perdana.

Kontroversi ekoran tohmahan bahawa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim terbabit dalam video lucah yang ditayangkan Dato' T kepada wartawan terpilih di hotel mewah Carcosa Seri Negara 21 Mac ternyata mengundang padah buat Umno-BN.

Apatah lagi selepas terdedah (dan diakui sendiri) bahawa dalang utamanya adalah Abd Rahim Tamby Chik. Ya, siapakah yang bersedia untuk membersihkan imej bekas Ketua Pemuda Umno itu daripada terpalit teruk dengan isu moral?

Dua tiga orang rakan-rakan yang hadir pada malam itu membuat kesimpulan awal yang hampir sama kepada saya: Suasananya bagaikan mahu mengulangi fenomena Reformasi 1998. Penulis Mohd Sayuti Omar merakamkan: "Bagi penyokong reformasi dan Pakatan Rakyat rugi besar malam ini (28 Mac) kerana tidak ke stadium .... Apa yang berlaku malam ini tak ubah himpunan di sekitar tahun 1998 di era reformasi dahulu."

Daripada awal saya menjangkakan, jika ia semata-mata rekaan, isu ini bakal memerangkap bukan saja Najib Razak, malah BN secara keseluruhannya. Pilihan raya umum ke-13 nanti berupaya menjadi penamat kepada penguasaan BN terhadap Putrajaya. Pengundi Melayu yang pernah mencetuskan undi protes pada 1999, dan seperti "sedikit tertangguh" pada 2008, akan memberikan pengajaran cukup pedih kepada Umno kali ini.

Orang Melayu sukar menerima individu diaibkan sebegitu rupa. Kalau pun bersalah (apatah lagi hanya setakat lemparan fitnah), memang wajar dihukum dan didera tetapi jangan sama sekali mengaibkannya di khalayak umum. Justeru, saya tidak begitu yakin dengan pandangan yang mendakwa bahawa konspirasi ini digerakkan seteru Najib dalam Umno, memandangkan ia bukan saja mampu menjerumuskan Presiden Umno itu ke jurang paling dalam, malah mengheret jatuh dominasinya selama 55 tahun itu.

"Saya perhatikan ramai anak muda membanjiri stadium pada malam itu. Ini juga satu mesej cukup positif buat Pakatan Rakyat. Mereka cukup marah dan pada masa sama begitu ghairah mahu melihat perubahan kepada lanskap politik negara," kata seorang wartawan yang membuat liputan. "Saya yakin mereka sedar dengan tanggungjawab untuk menyingkirkan pemimpin korup yang mengetepikan kebajikan rakyat," tambahnya.

"Ramai berkupiah putih malam tadi, saya rasa majoritinya mungkin penyokong PAS. Anak-anak muda makin percaya kepada PAS, mereka mahu politik yang berakhlak," pandangan seorang rakan lain.

Namun begitu, seperti berdepan situasi lain juga, saya sentiasa meletakkan "keraguan" ataupun membayangkan "suasana paling buruk" yang bakal kita hadapi, berdepan elit penguasa yang mampu memperkakaskan apa saja untuk terus bertakhta. Mood rakyat yang muak dan mual dengan budaya fitnah boleh sahaja dikalahkan dengan taktik lain yang lebih licik dan "berkesan", misalnya melalui manipulasi pendaftaran pemilih membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Umno sendiri.

Ketika Pakatan Rakyat sibuk mengatur kempen menyanggah propaganda jahat, agen-agen Umno sentiasa memerhati ruang dan peluang untuk memintas -- melalui sokongan dan bantuan jentera kerajaan -- sekali gus berhasrat menawan kembali negeri-negeri yang terlepas pada 2008, khususnya Selangor. Harakah mungkin berjaya mendedahkan satu dua kes di sekitar Lembah Klang, tetapi mungkin puluhan lagi belum berjaya terbongkar, malah untuk dihidu pun sukar.

Sehari selepas Stadium Melawati diserbu khalayak yang dahagakan maklumat sahih berkaitan isu Anwar, Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin "merayau-rayau" ke beberapa buah sekolah di Ampang dan Kuala Langat, bagi memancing undi. Melalui skrin TV, dalam berita jam 8 malam, saya perhatikan dengan jelas lambang dacing BN begitu menonjol.

Bayangkan, dalam dewan sekolah, sambil mengumumkan bantuan, Muhyiddin melalui acara rasmi kerajaan, giat berkempen memancing undi. Beliau secara terbuka menyelar kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan mengkritik Buku Jingga. Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar lebih jelas lagi dalam ucapannya menegaskan: "Kita perlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi dalam Dun Selangor untuk mengambil alih kerajaan negeri..."

Dalam gambar yang disiarkan Malaysiakini, saya perhatikan Ketua Umno Ampang, Ismail Kijo berada di atas pentas, di sebelah Noh. Dalam pilihan raya 2008, Ismail kalah kepada calon PAS, Khasim Abdul Aziz, di kerusi Dun Lembah Jaya. Mungkin disebabkan lokasi dewan sekolah itu berada dalam kawasan Dun berkenaan, Noh dalam ucapannya bertanya: "Apakah kita boleh menang Lembah Jaya?"

Jelas sekali, jelajah Muhyiddin (dan juga Najib Razak) ke seluruh negara untuk berkempen memburuk-burukkan Pakatan Rakyat menggunakan sepenuhnya kemudahan kerajaan. Dan Muhyiddin mengakui ia adalah perkara "biasa". "Ia tidak salah. Ia bukan masa kempen pilihan raya," tambahnya.

Ketika saya menulis kolum ini, seorang pembaca menelefon: "Harakah harus lebih agresif dedahkan taktik jahat Umno untuk tawan negeri-negeri Pakatan. Dan ingatkan wakil-wakil rakyat kita supaya lebih dekat dan intim dengan segenap masyarakat. Turun ke bawah, jangan rasa selesa di atas bahawa kita akan menang Putrajaya sedangkan rakyat mungkin marah dengan kita yang tak ambil peduli hal mereka."