Oleh: Muhammad Kamil Abdul Munim, UIAM
Saya
terkenang akan peristiwa ketika peghujung semester yang lalu, saya dan
rakan-rakan sibuk untuk mendaftar subjek bagi semester ini. Saya dan beberapa
rakan beruntung kerana berjaya mendaftar subjek Undang-Undang Perlembagaan atau
Constitutional Law bersama Prof Aziz Bari. Beberapa
rakan yang lain tidak berjaya disebabkan oleh timetable clash dan kuota
yang sudah penuh.
Sosok ini jarang dilihat berlegar di
sekitar fakulti. Hanya nama sahaja yang kerap didengari. Menjadi anak didik
beliau adalah satu peluang yang dinantikan.
Sosok ini sangat cool. Masuk ke
kelas lenggang kangkung tetapi tidak kangkung. Hanya sehelai kertas dan marker
pen ditangan. Tidak ada attendance list. Apa yang menarik ialah pelajar
berbondong bondong hadir ke bilik kuliyah walaupun kuliyah bermula jam 8 pagi.
Beliau mampu menarik pelajar untuk ke bilik kuliyah tanpa menjadikan rekod
kehadiran sebagai ugutan.
Beliau memiliki aura tersendiri.
Selepas isu rampasan kuasa di negeri
Perak, nama beliau sekali lagi menjadi perbualan masyarakat dalam isu JAIS di
Selangor.
Peranan sebagai ahli akademik
dinafikan kerana memberikan pandangan akademik yang telus dan benar. Dosa kali
ini cukup besar. Aziz Bari perlu dikekang.
Dosa-dosa ini direka khas untuk
kepentingan pihak tertentu yang menganggap diri mereka ma’sum sehingga
tidak boleh ditegur. Mujur mereka hidup di akhir zaman. Kalau di zaman sebelum
kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, keangkuhan dan ketakabburan mereka ini akan
dibayar cash oleh yang Maha Takabbur. Kisah Fir’aun, Haman, Namrud,
Qarun dipandang enteng ataupun tidak pernah ambil tahu. Kasihan dengan
kejahilan mereka.
Prof Aziz Bari letak jawatan
Kini Prof Aziz Bari hanya menunggu
akan berakhirnya semester ini untuk ‘angkat kaki’ dari UIA. Hasrat ini
dinyatakan oleh beliau sendiri. Bukan kerana diarah untuk berbuat demikian
tetapi atas dasar ‘belas kasihan’ terhadap pihak pengurusan UIA yang saban hari
semacam didesak oleh campur tangan luar. Khabar anginnya pihak istana juga
datang ‘melawat’ UIA.
Beliau dilihat sebagai bebanan
ataupun liability kepada pentadbiran UIA. Ada juga ibu bapa yang datang
mengadu kepada pihak kuliyah atas alasan anak mereka tidak faham tentang apa
yang diajar oleh Prof Aziz Bari ketika dalam kuliyah (selama 22 tahun beliau
mengajar ini kali pertama laporan sebegini dibuat).
Tindakan ini seakan desakan yang
dilakukan secara tidak langsung atau impliedly supaya beliau ‘berambus’
segera dari UIA. Tiada alasan untuk memecat beliau. Justeru modus operandi yang
berbeza mesti diguna pakai. Kesan daripada itu, sedikit sebanyak kebebasan
beliau sebagai ahli akademik disekat. Oleh itu, meninggalkan UIA mungkin jalan
terbaik.
Sehingga kini ramai pelajar yang
tertanya tanya dimanakah kenyataan beliau yang telah mencalar imej universiti.
Persepsi pelajar ialah di sana mungkin ada campur tangan politik. Persepsi
pelajar ialah mungin rektor patut berundur. Persepsi pelajar ialah universiti
bukan lagi universiti. Pihak pentadbiran dilihat seolah olah bersekongkol dalam
usaha untuk mengekang beliau. Kadang kadang dilihat flip flop dan play
safe dalam memberi kenyataan.
Universiti sebagai wadah atau medan
percambahan dan pertempuran ilmu kini seolah-olah telah menjadi medan untuk
memuja dan mengampu. Persepsi pelajar ialah kenapa rektor perlu takut? Jika
beliau dianiayai oleh tangan ghaib ribuan pelajar UIA akan bersama beliau atas
dasar kebenaran.
Hasrat untuk memperbaiki kedudukan
institusi pengajian tinggi di negara ini dan juga hasrat untuk mencapai status
seperti Oxford dan Harvard yang sering dilaungkan itu hanyalah idea bodoh dan
retorik semata-mata andai kata sistem dan amalan yang dibudayakan ini masih
dikekalkan demi manjaga kepentingan bapak-bapak yang sedang berkuasa.
Kesannya, akibat hujah tidak dapat
dibalas dengan hujah, Prof Aziz Bari menjadi mangsa. Kehilangan beliau adalah
satu kerugian yang amat besar kepada universiti. Selamat maju jaya saya ucapkan
kepada Prof Aziz. Saya berbangga menjadi batch terakhir beliau.
Sumbangan dan jasa beliau akan terus dikenang. Semangat itu tidak pernah luntur
dan akan dibawa bersama. Berjayalah di medan tempur yang lain dengan satu tujuan
iaitu untuk merencana perubahan menyeluruh dan bersekutu.
In Aziz
Bari We Trust!