Oleh: Ahmad Lutfi Othman
29 Mei 2012
Sewaktu debat
mempertemukan Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno,
Khairy Jamaluddin disifatkan sebagai permulaan budaya politik baru yang sihat
dan matang, kita dikejutkan dengan siri aksi brutal terhadap program Pakatan
Rakyat.
Ketika rakyat
masih mengingati dengan jelas perlakuan ganas polis semasa menyuraikan himpunan
aman Bersih 3.0, riak kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka bakal
menjadi gelanggang terburuk dalam sejarah, seperti hampir tidak dapat dielakkan
lagi.
Terbaru, 24 Mei,
di Pantai Dalam, media melaporkan batu dan telur berterbangan semasa Ketua
Pembangkang, Anwar Ibrahim berceramah, mengakibatkan seorang warga emas cedera
di kepala. Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nurul Balqis dturut terkena
lontaran batu sebesar kira-kira penumbuk tangan.
Menurut saksi,
batu itu dibaling dari kawasan ceramah Umno di kuarters Dewan Bandaraya Raya
Kuala Lumpur (DBKL) Pantai Dalam yang terletak bersebelahan. Personaliti yang
ghairah menabur fitnah, Ummi Hafilda Ali berceramah dengan pembesar suara
dihalakan kepada audien program Pakatan Rakyat, dengan menjawab secara langsung
isu-isu yang dibangkitkan penceramah Pakatan berhampiran.
Hari yang sama,
di Sayong Lembah, Kuala Kangsar, pada majlis ceramah membabitkan bekas Menteri
Besar Perak yang digulingkan, Nizar Jamaluddin, 11 kereta disimbah cat biru.
"Cat itu kebanyakannya disimbah di bahagian lampu depan," kata Nizar.
Minggu ini juga,
kumpulan anti-Bersih, yang diketuai pemilik Restoran Sekinchan Ikan Bakar,
Jamal Yunus, secara berterusan melakukan provokasi dan gangguan melampau di
hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga selepas aksi "senaman
punggung" dipamerkan pada 15 Mei.
Minggu lalu, di Melaka,
batu dan telur juga berterbangan di majlis minum petang anjuran PAS, di mana
Ambiga dijadual hadir. Dua Adun DAP, Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Tey Kok
Kiew (BAndar Hilir) berkata, tayar kenderaan mereka dipancitkan, cermin sisi
pecah dan badannya kemik teruk dihantam kumpulan pengacau yang didalangi Umno,
termasuk beberapa wakil rakyatnya.
Siri gangguan ke
atas program dan personaliti pembangkang dijangka berterusan, malah mungkin
ditingkatkan, kerana ia sudah menjadi budaya Umno sejak zaman berzaman (ingat
zaman Pemuda Tahan Lasak Umno), yang kini pimpinan parti berkenaan gelabah dan
kelihatan gabra menghadapi "hukuman rakyat" dalam PRU13.
Secara peribadi,
saya pelik memikirkan bagaimana Umno-BN yang meniti saat-saat sukar ini,
memilih pendekatan konfrontasi, yang sebenarnya semakin menjauhkan lagi parti
itu daripada sokongan pengundi.
Meskipun ia
ibarat "baling batu sembunyi tangan, namun banyak bukti boleh ditunjukkan
bahawa segala serangan dan provokasi jahat selama ini (ingat siri gangguan sejak
keputusan PRU12, Mac 2008, khususnya di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan,
dengan kemuncaknya rampasan kuasa kerajaan Perak), ditaja oleh Umno.
Sepatutnya,
menjelang PRU13 yang cukup kritikal itu, semua parti-parti yang bertanding
mempersembahkan pendekatan terbaik bagi memikat hati dan pemikiran pengundi,
bukannya melakukan tindakan agresif -- apatah lagi berunsur samseng dan ganas
-- yang hanya menyebabkan masyarakat menjadi lebih marah dan jelik.
Aneh sekali
strategi Umno ini, 'kan? Ketika perayu kempen berusaha dengan segala tenaga
untuk melunakkan hati pengundi, mereka memilih taktik yang boleh menikam
belakang sendiri!
Tentu ramai
mengingati bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menghadapi asakan
di luar adab kemanusiaan, termasuk dihadiahkan "kek tahi" yang
menjijikkan sempena hari jadinya tidak lama dahulu.
"Apa nak
dihairankan, tengok saja akhbar-akhbar yang dimiliki Umno, yang tidak malu-malu
menyiarkan gambar lucah dan porno, hanya untuk memburuk-burukkan pemimpin
Pakatan Rakyat. Blogger yang ditaja dan diupah Umno, serta mendapat layanan
istimewa pemerintah, bersikap biadab dan kurang ajar ketika memaparkan posting
mereka," kata seorang teman, seorang pensyarah sains politik.
Ternyata Umno
tidak sabar dan tahan uji menghadapi kekalahan, apatah lagi menunggu "saat
kematian". Sedangkan selama ini, sejak pilihan raya umum pertama,
pembangkang khususnya PAS, tetap menolak
pendekatan kekerasan atau militan meskipun sering diganasi secara fizikal dan
istiqamah dengan "muwajahah silmiyyah".
Pemimpin dan
aktivis PAS menghadapi ujian perit, termasuk dibunuh, dipenjarakan, dibuang
daerah, dinafikan hak sebagai warga dan pelbagai bentuk pengkhianatan lain.
Biarpun kalah teruk -- termasuk melalui penipuan -- dalam pilihan raya, PAS
tetap menghormati proses demokrasi dan pemimpinnya berjaya meyakinkan
ahli-ahlinya agar tidak memilih jalan di luar batas undang-undang.
Justeru, apabila
bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad cuba melakukan satu lagi provokasi
jahat, bagi saya ia satu tindakan tidak bertanggungjawab dan patut dikecam.
Dalam
blognya, Dr Mahathir mendakwa jika
Pakatan Rakyat tewas dalam PRU13, mereka akan menganjurkan "demonstrasi
ganas" tanpa henti untuk menolak keputusan itu. Selepas itu, pembangkang
akan mengusahakan pilihan raya baru yang dimanipulasi mereka diadakan.
"Tunjuk
perasaan Bersih yang besar dan ganas adalah persediaan untuk menolak keputusan
PRU13 jika parti lawan gagal memenanginya. Kekalahan mereka akan dituruti
dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihan
raya ditolak dan satu kerajaan lain didirikan, yang ditunjuk oleh parti
lawan," dakwanya.
Kalah dalam
pilih raya bukan satu isu besar bagi pembangkang. Mereka sudah melaluinya sejak
sekian lama. Sejarah menjadi saksi pembangkang dapat menerima kekalahan itu
tanpa menimbulkan huru-hara. Yang panik dan gelabah apabila ditewaskan adalah
Umno. Tidak dapat dengan jalan kasar, mereka memilih pendekatan membeli wakil
rakyat dengan sogokan rasuah.
Namun, jika
PRU13 berjalan secara tempang, penuh penipuan dan sarat dengan manipulasi,
seperti tergambar melalui pelbagai komplot hari ini, saya sendiri tidak dapat
menolak kemungkinan rakyat akan bangkit membantah melalui perhimpunan yang
lebih ramai daripada Bersih 3.0 lagi.
Apakah Dr
Mahathir sudah menduga bahawa Umno-BN sudah bersiap untuk melakukan
"kejahatan dahsyat" itu dalam PRU13 nanti? Atau beliau sekadar
membayangkan Umno sendiri mungkin
mencetuskan huru-hara dan keganasan sekiranya kalah dan hilang kuasa di
peringkat persekutuan nanti, seperti terjelma secara kecil-kecilan sehari dua
ini?
No comments:
Post a Comment