Tiga hakim Mahkamah Rayuan hanya mengambil
“Lebih mengejutkan ketiga-tiga hakim berkenaan mengambil pendirian senada bahawa Sultan Perak mempunyai kuasa penuh untuk melantik Zambry tanpa mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri untuk mengambil undi tidak percaya terhadap Nizar,” kata Setiausah politik Nizar, Misbahul Munir Masduki.
Hakim Md Raus Sharif, Zainun Ali dan Ahmad Maarop tidak memberikan hujah bertulis bagi menyokong keputusan mereka yang mempunyai implikasi mendalam terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini dan kuasa-kuasa istana sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.
Mengulas keputusan mahkamah itu, peguam Nizar, Sulaiman Abdullah berkata, “Negara kita mempunyai hakim-hakim luar biasa dengan kebolehan luar biasa.”
“Kini Nizar hanya boleh merayu kepada Mahkamah Persekutuan sebagai ruang perundangan terakhir untuk menegakkan mandat rakyat dan perlembagaan negeri Perak,” jelas Misbahul dalam blognya hari ini.
Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini tentunya sukar ditelan oleh bukan sahaja penyokong Pakatan Rakyat tetapi juga pendokong demokrasi malah di kalangan peguam sendiri.
Presiden Majlis Peguam Malaysia K.Ragunath berkata keputusan mahkamah hari ini seolah-olah meletakkan kuasa-kuasa Sultan sebagai menjangkau parlimen atau dewan undangan negeri.
Ragunath berkata Mahkamah Rayuan seolah-olah memberikan Sultan kuasa-kuasa yang menjangkaui daripada apa yang diperuntukan oleh perlembagaan.
Penasihat Dap Lim Kit Siang berkata keputusan mahkamah tanpa penghujahan bernas adalah mengejutkan dan satu penganiayaan proses keadilan.
Namun beliau menjangka keputusan itu akan menjejaskan lagi kredibiliti Perdana Menteri Najib Razak.
“Keputusan hari ini hanya membuatkan rakyat lebih marah dan mempercepatkan kejatuhan Barisan Nasional,” kata Lim Kit Siang.
Ketua Pemuda Angkatan Keadilan Pemuda Samsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan keputusan itu “memualkan” dan dipengaruhi oleh tekanan politik.
Beliau berkata keputusan tiga hakim itu jelas begitu cetek, tanpa disokong oleh fakta bernas bukan sebagaimana penghujahan lengkap yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar sah sebelum ini.
Pemerhati politik berpandangan bahawa keputusan ini memang sudah dijangka kerana bibit-bibit campurtangan politik ini telah diwar-warkan oleh Perdana Menteri sendiri apabila beliau berkata BN hanya akan menimbang mengadakan pertemuan dengan Pakatan Rakyat bagi mencari penyelesaian krisis politik Perak setelah selesai proses mahkamah.
Umumnya penyelesaian politik tidak ada kena-mengenai dengan keputusan mahkamah dan kenyataan Najib itu menimbulkan persepsi beliau sudah tahu hala keputusan Mahkamah Rayuan sebelum membuat kenyataan itu awal minggu ini.
No comments:
Post a Comment