Posted by: Dr Mohamad Khir Toyo
1. Cadangan untuk mengadakan pendidikan seks di sekolah-sekolah sekali lagi menjadi tajuk perbincangan hangat. Ini bukan kali pertama ia menjadi isu. Setiap kali isu ini timbul akan wujud pandangan yang bersetuju dan menentang. Ini lumrah manusia. Jarang manusia boleh bersetuju sebulat suara dalam apa hal pun.
2. Melihat gejala sosial hari ini termasuk seks diluar perkahwinan, seks bebas, peningkatan pembawa HIV dan penghidap AIDS, seks bawah umur dan jenayah seksual seperti rogol, cabul dan liwat menunjukkan ada kepentingan dan keperluan mengadakan pendidikan seks di sekolah-sekolah.
3. Namun ada juga rakan saya berhujah bahawa Amerika Syarikat yang memperkenalkan pendidikan seks bukan sahaja gagal membendung gejala-gejala yang saya sebutkan itu, malah meningkatkan pula masalah-masalah sosial ini. Mungkin perasaan ingin tahu hasil pengetahuan mengenai seks tersebut menyebabkan mereka ingin mencuba.
4. Saya percaya di Malaysia sendiri pun masalah-masalah sosial membabitkan seks ini berpunca daripada pendedahan remaja kepada bahan lucah di internet yang mendorong perasaan ingin mencuba.
5. Bagi saya pendidikan seks harus dilaksanakan di sekolah-sekolah bagi bukan sahaja membendung seks luar nikah dan seks bebas tetapi juga memberi pengetahuan yang jelas mengenai kehidupan manusia dan isu-isu gender. Ini kerana masayarakat hari ini turut berhadapan dengan masalah kekeliruan gender di mana kita lihat semakin ramai lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki.
6. Kontroversi di kalangan yang menentang ini banyak berkisar kepada masalah pendekatan atau approach mereka yang mencadangkannya. Jika diteliti dari sudut ilmu pendidikan dan akademik, pendidikan seks mempunyai ruang lingkup yang sangat luas dan bukan bermakna hubungan seks (intercourse) semata.
7. Namun di kalangan orang Asia termasuk di Malaysia, subjek Pendidikan Seks memberi makna yang kurang selesa dan agak sensitif. Justeru apabila dilontarkan idea pendidikan seks kepada masyarakat di negara ini ia memberi mesej yang mengelirukan. Ramai beranggapan ia akan menerangkan mengenai hubungan kelamin sekaligus ini menimbulkan tentangan.
8. Justeru untuk perbincangan selanjutnya saya berharap Kementerian Pelajaran dan tokoh pendidik boleh memulakan perbincangan dengan menggunakan nama pendidikan seks kepada sesuatu yang lebih sopan, mesra dan dapat diterima oleh masyarakat tanpa menyinggung perasaan.
9. Saya cadangkan Kementerian Pelajaran menggunakan nama seperti Pengajian Gender. Ia tampak lebih manis dan tidak menimbulkan ketidakselesaan masyarakat untuk membicarakannya.
“Gender is used to describe those characteristics of women and men, which are socially constructed, while sex refers to those which are biologically determined. People are born female or male but learn to be girls and boys who grow into women and men. This learned behaviour makes up gender identity and determines gender roles” (World Health Organization, 2002).
10. Saya juga berharap Kementerian Pelajaran mendapatkan pandangan dan bantuan pelbagai pihak terutama pemimpin masyarakat, NGO, tokoh agama, tokoh motivasi dan tokoh budaya dalam merangka satu sukatan pengajian gender yang menyeluruh dan bukan berunsur seks semata.
No comments:
Post a Comment