Laporan Langsung
2.10pm: Puduraya – Polis dilaporkan semakin garang terhadap penunjuk perasaan. Ada yang diheret. Seorang penunjuk perasaan juga dilaporkan cedera dengan kepalanya berdarah.
2.05pm: Puduraya – Polis terus bertindak menangkap lebih ramai penunjuk perasaan dengan anggota polis bergerak dalam kumpulan lima dan enam orang bagi menangkap individu tertentu. Mereka juga didakwa dilihat menumbuk dan menolak tahanan. Beberapa tahanan wanita juga dilaporkan dikasari.
2:01: Bukit Bintang – perarakan Patriot telah terhenti seketika. Menurut sumber-sumber Pemuda Umno, kumpulan itu sedang menunggu selepas laluan mereka ke Stadium Merdeka dihalang pihak polis. Kumpulan itu juga sedang menunggu kumpulan kecil penyokong Pemuda Umno yang berarak dari Kampung Attap dan PWTC.
2.00: Hotel Hilton – Hujan masih turun di luar hotel dan suasana di dalamnya tegang ketika pemimpin Pakatan Rakyat bersedia untuk berarak.
Bagaimanapun, mereka kelihatan bertenaga dan berikrar untuk meneruskan perarakan ke Stadium Merdeka bila dapat melepasi benteng polis di luar hotel yang menunggu kemunculan mereka.
Pemimpin Pakatan dikelilingi oleh wartawan ketika mereka bergerak keluar perlahan-lahan.
1.55pm: Hujan mula mencurah di Kuala Lumpur.
1.52pm: Masjid Jamek – Terdapat sekurang-kurangnya empat trak polis di stesen LRT Masjid Jamek sekarang ini.Orang ramai yang berhimpun terpaksa bersurai kerana polis telah melepaskan gas pemedih mata tetapi mereka dijangka berkumpul semula.
1:44pm: Menara Maybank – Trak meriam air melepaskan tembakan ke atas orang ramai untuk kali kedua – kali ini menggunakan air bercampur kimia dan pewarna biru.Daripada bersurai, orang ramai terus bergerak. Sesetengahnya kelihatan menumbuk trak meriam air. Ini diekori dengan satu lagi pusingan gas pemedih mata yang dapat menyuraikan orang ramai secara perlahan-lahan.
1:43pm: Masjid Jamek – Sekumpulan kira-kira 10 pegawai polis tugas am yang memakai topeng gas, mengejar penunjuk perasaan yang berlari lintang pukang ke dalam kawasan Masjid India.
1:30pm: Kira-kira 300 anggota Pemuda Umno telah berkumpul di Jalan Bukit Bintang. Mereka semua memakai baju-T- merah bertulis ‘Patriot’. Baju-T itu juga didedarkan kepada orang ramai.
1:22pm: Petaling Street – kumpulan beberapa ribu orang yang berarak ke Stadium Negara, berpatah balik ke Jalan Tan Cheng Lock selepas berdepan dengan satu sekatan jalanraya. Sekumpulan besar rakyat Sarawak melaungkan ‘Hidup Sarawak’, disambut tepukan gemuruh dari yang lain.
1.20pm: Masjid Jamek – Jumlah yang berhimpun terus bertambah ramai dengan polis pula menunggu bantuan bagi memperkukuhkan sekatan mereka.
1.21pm: Pemimpin utama BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan, Haris Ibrahim, Wong Chin Huat dan Sadterawan Negara A Samad Said juga berada di Hotel Hilton. Mereka disertai oleh ahli politik William Leong, Datuk Kamaruddin Jaafar, Zaid Kamaruddin, Syed Azman Syed Nawawi dan Tian Chua. Berita Timbalan Presiden PKR Azmin Ali ditangkap kini disahkan. Sebelum ini, dua naib presiden PAS – Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub juga telah ditangkap.
1.15pm: Angka rasmi tangkapan setakat ini ialah 514 – 478 lelaki dan 36 wanita.
1.15pm: Masjid Negara – Masjid ini hampir kosong dan dipenuhi anggota polis. Ada yang mengadu tandas dikunci sehingga menyusahkan orang ramai.
1.14pm: Akaun twitter palsu @bersihrally dikesan. Ia diwujudkan pagi tadi jam 9.42.Twitter yang mendakwa akan “menyiarkan laporan langsung perhimpunan BERSIH 2.0 dengan bantuan sukarelawan yang membuat liputan” itu menyebarkan berita palsu. Antaranya berlaku kejadian menjarah di Pasar Seni, pertembungan dengan polis di KLCC dan juga tembakan dilepaskan di Bangsar.
Selepas dikesan oleh pengguna Twitter lain, @bersihrally akhirnya mengalah dengan mesej ini: “Took you guys long enough to figure it out. I’ve done my job. Thanks for playing.”
1.00pm: Masjid Jamek – Jumlah penunjuk perasaan semakin ramai dengan tidak kurang 1,000 orang yang bersiap sedia untuk berarak.Sebelum itu, seorang pelajar dilaporkan terkena tembakan kanister gas. Beliau memohon gambarnya yang cedera tidak disiarkan kerana bimbang akan dikenakan tindakan oleh kerajaan kerana beliau seorang pelajar.
12:51pm: Hotel Hilton – Pemimpin PKR Nurul Izzah Anwar, Syed Husin Ali, Lateefah Koya tiba di bilik hotel Anwar Ibrahim. Wartawan tempatan dan luar negara sudah bersiap sedia untuk sidang akhbar yang dijadualkan itu.
12:46pm: FRU lepas tembakan gas pemedih mata di Bank Agro dekat Daya bumi.
12:42: Stesen lama KTM – Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam berkata mereka memandang berat terhadap tangkapan beramai-ramai sehingga ini. “Polis kata, mereka akan ditahan di Pulapol (Pusat Latihan Polis),” kata sambil menambah bahawa pihaknya sedang memantau keadaan. Nayagam, bagaimanapun, tidak mahu mengulas sama ada polis kasar dalam tindakan mereka terhadap suspek.
12:34pm: Kira-kira 1,000 orang mula bergerak dari stesen lama KTM menuju Dataran Merdeka.
12:32pm: Masjid Jamek – Ahli Majlis MPSJ Michael Tamil dan Mohd Hafifudin, yang juga adalah pengerusi Persatuan Penjaja Bumiputera Masjid India, sedang memantau kawasan sekitar.
12:30pm: Menurut Facebook polis, seramai 441 orang, termasuk 20 wanita, ditahan sehingga jam 12 tengahari.
12:20pm: KL Sentral – Selain Anwar dan Dr Wan Azizah turut berada di sini adalah ketua pemuda DAP Anthony Loke dan setiausaha PKR Saifuddin Nasution di Hotel Hilton yang terletak di bangunan itu. Mereka dijadual mengakan sidang akhbar sebentar lagi. Semua mereka adalah antara 91 individu yang dilarang memasuki Kuala
12:15pm: Bekas ibupejabat KTM – tandas dalam bangunan itu telah dikunci oleh pihak polis.
12:12 pm: IPK KL – Seramai 338 orang telah ditangkap – 321 lelaki dan 17 perempuan. Mereka ditahan di sekitar Dataran DBKL, Istana Negara, Pasar Seni dan Masjid Jamek.
12:10pm: Menurut Facebook polis, mereka menafikan dakwaan twitter BERSIH 2.0 bahawa berlaku pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis di KLCC dan menafikan juga gas pemedih mata telah digunakan.
12:05pm: Ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut agak lenggang dengan hanya kira-kira 50 orang di luar, termasuk ketua penerangan polis PAS Misbahul Munir. Empat kereta peronda polis diletakkan kira-kira 50 meter dengan 15 pegawai polis. Sekumpulan anggota polis Cawangan Khas berlegar dengan
orang ramai.
11:58am: Petaling Street – Kira-kira 50 orang berkumpul di dalam kelompok kecil di sepanjang jalan pasar, yang dipercayai penunjuk perasaan.
Bagaimanapun, tidak ada yang berpakaian kuning.
11.55am: Stesen lama KTM – Masih ramai yang berlegar di sekitar stesen keretapi ini. Mereka diminta meninggalkan kawasan itu melalui jejantas berhampiran Mahkamah Syariah. Puluhan telah ditahan di kawasan ini. Polis juga dikatakan bertindak kasar terhadap suspek. Ada yang dicekup di tengkuk. Lori polis kedua yang penuh dengan tahanan beredar ke balai polis.
Polis anti-rusuhan juga bersiap-sedia dan dipercayai akan bergerak masuk ke stesen KTM bagi menyuraikan rakyat yang cuba berhimpun itu.
11:50am: Timbalan presiden PKR Azmin Ali menulis di tweeter – “Saya sudah berjaya tiba di ‘forbidden city of KL’.”
11.35am: Ketegangan berlaku di stesen lama KTM. Anggota polis cuba menyuraikan orang ramai di dalam bangunan.
11.30am: Menurut Facebook PDRM, sehingga 11 pagi, 236 orang telah ditangkap 228 lelaki dan lapan wanita. Mereka melaungkan ‘Allahu Akbar’. Sekurang-kurangnya enam orang ditahan di kawasan tersebut pagi ini.
11:25am: Menurut sumber, pemimpin Pakatan Rakyat telah bergerak ke pusat bandar.
11:12am: Sogo – Seorang daripada tiga lelaki yang ditahan di sekitar Masjid India berkata, polis memeriksa begnya dan menemui baju-T kuning. “Bubuh gambar saya, biar besar sikit,” katanya sambil senyum sebelum dibawa menaiki trak polis.
11:10am: KLCC – Tiada bukti bahawa gas pemedih mata telah digunakan ke atas penunjuk perasaan di sini. Pengunjung kelihatan mundar-mandir seperti biasa.
11.04am: Stesen LRT Hang Tuah LRT kini ditutup kerana “sebab-sebab keselamatan”.
11:00am: Satu sumber Bukit Aman berkata lebih 100 orang telah ditangkap pagi ini setakat ini.
11:00am: Stesen LRT Hang Tuah LRT kini ditutup kerana “sebab-sebab keselamatan”.
10:55am: Stadium Merdeka – Polis menutup stesen monorail Maharajalela dan stesen Hang Tuah yang terletak berhampiran Stadium Merdeka.Perkhidmatan monorail masih diteruskan di stesen-stesen lain
10.20am: Stesen LRT Masjid Jamek – Tangkapan penyokong BERSIH 2.0 berterusan. Turut ditahan adalah seorang lelaki selepas polis menggelidah bagnya tetapi tidak menjumpai barangan berkaitan BERSIH. Dia bagaimanapun mengakui sedang mengumpulkan derma semasa ceramah PAS sebelum ini.
10.06am: Stadium Merdeka – Polis memasang kawat duri pada di kedua-dua arah masuk Jalan Stadium, dan menutupnya bukan sahaja kepada kenderaan tetapi juga pejalan kaki.
Kira-kira 20 wartawan juga sedang berkumpul di kawasan ini yang penuh dengan anggota polis.
10.06am: Di stesen lama KTM – seorang warga emas berusia 70 tahun yang memakai serban dan jaket Pakatan Rakyat ditahan bersama dua lagi selepas beliau berkeras untuk pergi ke Masjid Negara untuk bersolat. Ketiga mereka dibawa dengan jip polis.
10.05am: Masjid Negara – Jumlah orang ramai juga semakin bertambah di kawasan ini. Dianggarkan tidak kurang seribu telah berada di sini.
9.55am: Masjid Jamek – Lebih ramai yang datang melalui stesen LRT. Polis belum memeriksa mereka tetapi hanya memerhatikan keadan. Kawasan ini adalah antara lokasi panas pada perhimpunan BERSIH pada 2007.
9.50am: Masjid Negara – Seorang lelaki tua yang cuba menghampiri masjid dengan niat untuk bersolat telah dihalau oleh pihak berkuasa. Jumlah penyokong BERSIH 2.0 di persekitaran stesen keretapi lama itu semakin bertambah ramai.
9.45am: Masjid Negara – Sekurang-kurang 1,000 penyokong BERSIH 2.0 berjaya berkumpul di kawasan sekitar ibu pejabat lama KTM dan sedang melaung-laungkan slogan.
9.41am: Istana Negara – Sebuah trak meriam air dan anggota polis pencegah rusuhan berkawal di kawasan ini. Kawasan ini di Jalan Mahameru kini ditutup dan tidak ada kenderaan yang dibenarkan melaluinya.
9.40am: IPK Kuala Lumpur – Penolong Pengarah Pengurusan (Perhubungan Awam) Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan 21 orang telah ditangkap pihak polis.
Secara tidak rasmi, seorang lagi pegawai berkata tidak kurang 100 orang yang telah ditangkap.
9.38am: Kampung Baru – Tambahan 18 lagi ditahan dipercayai penyokong BERSIH di sekitar kawasan ini. Jumlah itu tidak termasuk dengan tangkapan pertama pada kira-kira sejam sebelum ini di mana sembilan orang dicekup.
9.35am: Masjid Jamek – Tujuh orang ditahan. Alasan penahan mereka belum dapat dipastikan. Wartawan tidak dibenarakan berada berhampiran trak tempat mereka ditahan.
“Awak tak boleh berada di sini. Sila bercakap kepada pegawai saya jika awak mahu berada di sini,” kata anggota polis itu.
9.30am: Maju Junction – Empat lelaki ditahan apabila polis menjumpai sehelai baju berwarna kuning di begnya.
9.15am: DBKL – Kira-kira 60 anggota polis dan sepuluh trak dilihat berada di persimpangan T di hadapadan bangunan DBKL.
9.05am: KL Sentral – Polis sedang memeriksa bag-bag ke4punyaan penyokong PAS yang baru tiba dari Kelantan.
9.00am: Stadium Merdeka – Jalan ke stadium itu dari Jalan Maharajalela sudah dikepung dengan halangan kawat berduri. Wartawan yang ingin memasuki kawasan itu perlu berdaftar dengan polis.
8.50am: Dataran Merdeka – Police telah menutup kawasan Dataran Merdeka. Lebih enam trak FRU, termasuk trak meriam air diletakkan di lokasi ini.
Sepanjang Jalan Tun Perak, berhampiran stesen Masjid Jamek, puluhan trak FRU dan sebuah trak meriam air bersiap sedia. Kawasan ini adalah lokasi yang lazimnya menjadi tempat berkumpul bagi penunjuk perasaan.
No comments:
Post a Comment