Friday, February 26, 2010

Harapan Dan Pandangan

By: Dr Mohamad Khir Toyo

Petrol

1. Saya berharap kerajaan tidak melaksanakan sistem yang kompleks dan rumit dalam pemberian subsidi petrol. Petrol merupakan barang keperluan semua rakyat. Sebarang kenaikan petrol akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang akhirnya hanya akan menyusahkan lagi rakyat.

2. Cadangan saya kerajaan mengekalkan janji untuk memberi subsidi 30 sen seliter untuk RON 95. Bagi RON 97 adalah wajar juga kerajaan menunaikan janji menjual pada harga pasaran.

3. Ini lebih praktikal berbanding memberi subsidi mengikut pendapatan, jenis kereta dan juga penggunaan mykad. Saya khuatir nanti yang untung bukan kerajaan tetapi pembekal sistem baru sahaja.

4. Ramai yang mampu bersedia menggunakan RON 97, namun tidak semua stesen minyak, terutama di luar Lembah Klang yang menjualnya. Malahan stesen minyak di Lembah Klang juga ramai yang tidak menyediakan pam untuk RON 97. Mengapa ini terjadi sekarang kerajaan mahu menggalakkan rakyat kurang bergantung kepada subsidi.

5. Kerajaan mungkin boleh membuat beberapa kempen dan peraduan bagi menarik orang ramai yang mampu menggunakan RON 97. Selain itu, ramai juga pemilik kereta CC tinggi lebih suka menggunakan RON 97. Ini merupakan jalan terbaik kerajaan mengurangkan subsidi petrol. Rakyat ada pilihan dan tidak dipaksa.

GST

6. Semua orang di Malaysia kecuali
segelintir pegawai kanan kerajaan mengetahui bahawa pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan memberi implikasi yang serius kepada harga barangan.

7. Memang benar GST sebanyak 4% lebih murah daripada SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) sebanyak 15% sekarang ini. Apa yang tidak diterangkan tetapi diketahui umum ialah GST merupakan sistem percukaian yang sangat efisyen kerana ia dikenakan di setiap peringkat pengeluaran.

8. Jika salah mungkin pegawai kerajaan boleh tolong betulkan. Namun bagi kami yang di luar melihat GST sebanyak 4% akan menyebabkan kos barangan mungkin menjadi antara 12-16 % bergantung kepada berapa peringkat pengeluaran.

9. Eloklah kerajaan terangkan dengan jelas GST ini bukan sekadar bermain kata-kata manis semata.

10. Mungkin kerajaan perlu memulakan GST ini pada peringkat 1 atau 2% bagi melihat kesannya terlebih dahulu.

The Star

11. Saya terbaca tulisan P Gunasegaran dalam The Star jumaat lalu, Persuasion, not compulsion, yang mempertikaikan pelaksanaan hukuman sebat ke atas tiga orang wanita Islam yang mengaku berzina.

12. Saya berharap The Star lebih berhati-hati mengeluarkan pandangan terhadap perundangan Islam di negara ini. Apatah lagi ia ditulis oleh bukan Islam.

13. Undang-undang syariah negara ini adalah hak orang Islam yang tidak seharusnya dicabar dan dipertikaikan oleh bukan Islam selagi tidak membabitkan kepentingan mereka.

14. Sebarang keputusan dan pandangan mengenai hukuman syariah biarlah dibincangkan di kalangan orang Islam. Saya khuatir jika tindakan mengkritik agama lain sewenang-wenangnya dilakukan oleh penganut agama lain maka ia akan mengeruhkan hubungan antara penganut agama di negara ini dan menimbulkan kebencian antara agama pula.

No comments: