Sunday, February 14, 2010

Keputusan sama ada kes Anwar diteruskan, 17 Februari

Oleh NORLIZAH ABAS

Keputusan sama ada pertuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal atau digugurkan bakal diumumkan oleh Mahkamah Rayuan pada 17 Februari ini.

Ia akan menjadi penentu sama ada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang ditangguhkan Rabu lalu, diteruskan pada Khamis depan atau beliau akan dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Keputusan itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Hakim Datuk Sulaiman Daud dan Hakim Datuk Azhar Ma'ah.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu merayu terhadap keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 1 Disember tahun lalu yang menolak permohonannya agar tuduhan liwat itu dibatalkan.

Ketua Pembangkang itu mengemukakan permohonan itu dengan alasan tuduhan tersebut berniat jahat, menindas dan menyalahgunakan proses mahkamah selain satu konspirasi politik serta muslihat jahat sama seperti pertuduhan yang dihadapinya pada 1998.

Anwar didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Peguam Karpal Singh yang mewakilinya berhujah agar tuduhan itu diketepikan kerana ia satu penindasan terhadap anak guamnya selain merupakan penyalahgunaan proses mahkamah:

"Tuduhan itu tidak berasas kerana laporan perubatan oleh tiga doktor yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari menyatakan tiada penemuan klinikal yang kukuh menunjukkan berlaku kemasukan zakar dalam duburnya."

Ujar Karpal, ketiadaan elemen yang amat penting itu mencacatkan tuduhan liwat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan sedangkan ia menjadi asas kepada intipati pertuduhan:

"Section 377B of Penal Code (Act 574): Punishment for committing carnal intercourse against the order of nature: Whoever voluntarily commits carnal intercourse shall be punished with imprisonment for a term which may extend to twenty years, and shall also be liable to whipping."

(If found guilty, and age above 50 years old, not be liable to whipping).

Ujar beliau, tiada gunanya pendakwaan diteruskan dengan memanggil saksi-saksi memberi keterangan memandangkan perkara asas iaitu kemasukan zakar pada pertuduhan tidak dibuktikan.

Sehubungan itu, beliau memohon mahkamah menetapkan pendiriannya dengan membenarkan rayuan tersebut meskipun perbicaraan telah dimulakan.

Menurut beliau, persoalan yang dibangkitkan sewaktu di Mahkamah Tinggi sama ada pendakwaan berlaku jujur atau bertindak mengikut arahan pihak atasan, tidak harus diberi perhatian pada ketika ini.

Sementara itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden berhujah agar rayuan itu ditolak kerana pertuduhan terhadap Anwar tidak mengandungi cacat cela meskipun tiada laporan klinikal yang kukuh menunjukkan berlaku kemasukan zakar.

Beliau menghujahkan, laporan perubatan itu yang mengandungi pemeriksaan fizikal terhadap mangsa yang juga pengadu kes hanya merupakan peringkat pertama penyediaannya dan masih perlu disokong oleh keterangan forensik.

Sehubungan itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya tersebut berhujah, laporan itu hanya akan lengkap melalui fasa kedua apabila doktor pakar dan ahli kimia memberi keterangan di mahkamah.

''Anwar mahupun peguamnya tidak berhak mempertikaikan sama ada wujud kemasukan atau tidak kerana ia akan dijelaskan dengan lebih terperinci oleh pakar yang menyediakan laporan itu,'' ujar beliau.

Dengan itu, Mohd. Yusof menghujahkan tiada berlaku penyalahgunaan proses mahkamah dan memohon agar pertuduhan terhadap Anwar dikekalkan manakala perbicaraan diteruskan.

Anwar memohon pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu dibatalkan dengan alasan laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pusrawi menunjukkan tidak terdapat kemasukan zakar ke dalam dubur Mohd. Saiful Bukhari.

Hakim Mohamad Zabidin dalam keputusannya menyatakan, walaupun laporan itu menyatakan 'tiada penemuan klinikal yang kukuh menunjukkan kemasukan zakar dalam dubur pengadu', ia tidak boleh dijadikan asas bagi mahkamah menggunakan kuasanya membatalkan pertuduhan tanpa mendengar keterangan saksi-saksi terlebih dahulu.

No comments: