Tuesday, June 1, 2010

Peguam Sharie Kafir?

Posted by Zulkifli Bin Noordin

Saya mempertikaikan cubaan seorang peguam sekular bernama Victoria Jayaseele a/p Martin Jayaraj yang memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memaksa Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menerima beliau sebagai peguam syarie; dengan tujuan untuk beliau boleh mengendalikan kes-kes syariah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Peguam Victoria Jayaseele a/p Martin Jayaraj adalah seorang bukan Islam. Beliau tidak pernah mempunyai aqidah mempertuhankan ALLAH Yang Maha Esa, beliau tidak meyakini Nabi Muhammad saw sebagai Rasulullah, beliau tidak beriman dengan Al Quran dan Hadis; pendek-kata beliau adalah seorang kafir dan bukan Islam! Bagaimana kafir dan bukan Islam saperti ini boleh diterima dan dibenarkan menjadi seorang peguam syarie dan menjalankan amalan guaman syariah di mana-mana Mahkamah Syariah yang undang-undangnya berteraskan Al Quran dan Hadis yang beliau sendiri tidak beriman dengannya!


1. Perlembagaan Persekutuan

Dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang kita 'amalkan, kita meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang utama negara. Semua kuasa dan bidangkuasa terkandung didalam Perlembagaan. Dari segi sistem kehakiman, adalah jelas Perlembagaan membezakan dua sistem kehakiman didalam negara ini, iaitu sistem kehakiman sekular dan sistem kehakiman syariah. Kedua-dua sistem ini adalah seiring dan setaraf. Itulah yang diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan didalam beberapa kes termasuk kes Azlina Jailani v MAIWP (cubaan untuk mengesahkan murtad dimana Mahkamah memutuskan penentuan murtad adalah bidangkuasa Mahkamah Syariah). Ini bersesuaian dengan peruntukkan Artikel 121 (yang memberi bidangkuasa kepada Mahkamah sekular) dan Artikel 121 (1A) (yang memberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah).

Dan adalah jelas dan muktamad Mahkamah sekular tidak boleh sama sekali mencampuri atau menceroboh ke bidangkuasa Mahkamah Syariah. Kedudukan ini sudah jelas dan muktamad. Dan saya tidak faham kalau masih ada lagi Mahkamah sekular yang merasakan mereka boleh mencampuri urusan dan bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Oleh itu saya berpendapat adalah suatu penghinaan kepada Perlembagaan dan institusi Mahkamah Syariah untuk sesuatu kes dibawah bidangkuasa Mahkamah Syariah dibawa ke Mahkamah sekular untuk diputuskan!


2. Hak Perundangan & Bidangkuasa Samataraf

Kedua, hak dan bidangkuasa berkenaan dengan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal syariah adalah didalam bidangkuasa negeri dan Mahkamah Syariah masing-masing. Ini jelas diperuntukkan dibawah Artikel 74 (2) dan Jadual 9 Senarai ll Perlembagaan Persekutuan. Dan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Parlimen telah menggubal suatu akta dinamakan sebagai Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

Berkenaan dengan kemasukan dan penerimaan seseorang peguam syarie untuk mengendalikan kes-kes di Mahkamah Syariah WP, Seksyen 59 memperuntukkan "MAIWP boleh, dengan kelulusan Yang Di Pertuan Agong, membuat kaedah untuk mengadakan peruntukan bagi prosedur, kelayakan-kelayakan dan fee-fee bagi penerimaan Peguam Syarie" dan "tiada seorang pun selain Peguam Syarie yang berhak hadir dalam mana-mana Mahkamah Syariah (WP) bagi mana-mana pihak..".

Dan MAIWP telahpun membuat suatu kaedah bagi penerimaan seseorang Peguam Syarie bagi Mahkamah Syariah WP, dan diantaranya ialah syarat pemohon tersebut "hendaklah beragama Islam".

Adalah jelas bahawa soal penerimaan dan pendaftaran seseorang Peguam Syarie adalah didalam bidangkuasa MAIWP dan Mahkamah Syariah WP. Hak dan bidangkuasa mengenakan syarat kelayakan adalah hak dan bidangkuasa MAIWP dan Mahkamah Syariah. Dan ia mengenakan syarat seseorang pemohon itu mesti beragama Islam. Oleh itu, adalah salah bagi mana-mana Mahkamah sekular mencerobohi bidangkuasa tersebut, sesuai dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan saperti yang dinyatakan diatas.

Selanjutnya, hak dan bidangkuasa mengenakan syarat ini sepatutnya dihormati oleh semua pihak, walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengannya; kerana ini adalah undang-undang yang digubal oleh pihak yang berkuasa menggubalnya mengikut Perlembagaan.


3. Perbandingan dengan sistem perundangan lain

Contohnya, undang-undang memperuntukkan seseorang yang berhasrat menjalankan amalan guaman syarie di Malaysia perlu mendapatkan sijil kelayakan amalan guaman syarie daripada kesemua 13 Mahkamah Syariah negeri-negeri. Saya sendiri telah mengusulkan melalui Parlimen supaya syarat ini dipinda dan diselaraskan, namun selagi ianya masih undang-undang semua pihak harus menghormatinya.

Begitu juga bagi seseorang yang ingin mengamalkan khidmat guaman di Mahkamah sekular di Sabah/ Sarawak. Walaupun peguam saperti saya yang berkelayakan untuk menjalankan amalan guaman di Semenanjung, tetapi peraturan tambahan dikenakan untuk Sabah/ Sarawak dimana hanya mereka yang diterima dan didaftarkan di Mahkamah sekular Sabah/ Sarawak sahaja yang boleh berbuat sedemikian walaupun tiada beza dari segi kelulusan antara seorang peguam sivil di Semenanjung dengan Sabah/ Sarawak. Tetapi itu adalah hak Sabah/ Sarawak untuk mengenakan syarat sedemikian walaupun saya sendiri merasakan syarat itu bercanggah dengan semangat dan persefahaman kita sebagai sebuah negara yang satu. Tapi adakah kita berhak mencabar hak dan bidangkuasa Sabah/ Sarawak mengenakan syarat sedemikian. Sudah tentu tidak, melainkan masing-masing Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sabah/ Sarawak meminda undang-undang tersebut.

Samalah dengan syarat untuk seseorang peguam untuk menjalankan amalan guaman dinegara komanwel lain saperti Britain, India, Australia, Emirat Arab Bersatu, New Zealand dan lain-lain. Walaupun mempunyai kelulusan dan kelayakan yang sama iaitu ijazah LLB dan menjadi seorang Advocate & Solicitor, namun tiap negara berhak mengenakan syarat tambahan seseorang itu mestilah warganegaranya. Samada di Malaysia, Singapura, Australia, Britain, New Zealand, India dan lain-lain, semuanya mengenakan syarat yang sama. Apakah kita boleh mempertikaikan hak negara-negara tersebut mengenakan syarat sebegitu dan mencabarnya di Mahkamah Antarabangsa kononnya iainya suatu diskriminasi! Hanya mereka yang jahil sahaja yang akan berbuat sedemikian!

Rumusannya ialah hak dan bidangkuasa menentukan syarat penerimaan dan pendaftaran kelayakan sesorang untuk menjalankan 'amalan guaman dimana-mana Mahkamah, samada sekular atau sivil, Semenanjung atau Sabah/ Sarawak, Malaysia atau negara komanwel lain adalah hak institusi atau mahkamah tersebut. Samada sekatan kelayakan itu berbentuk akademik, etnik, kenegaraan atau agama; itu adalah hak perundangan institusi atau badan tersebut. Sekiranya ada mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan sebarang sekatan itu hendaklah berusaha meminda undang-undang tersebut samada di Parlimen atau mana-mana badan yang menggubal undang-undang; bukan dengan mencabar atau mempertikaikannya di Mahkamah.


4. Bidangkuasa Bersilang

Sebagai suatu perbandingan, seseorang yang ingin memohon menjadi seorang peguam di Mahkamah sekular hendaklah membuat permohonan tersebut di Mahkamah sekular tersebut. Di Malaysia, permohonan sedemikian hendaklah dibuat ke Mahkamah Tinggi Malaya atau Mahkamah Tinggi Sabah/ Sarawak. Hanya Mahkamah tersebut sahaja yang berhak menentukan penerimaan sesorang peguam di Mahkamah sekular.

Maka meminta Mahkamah sekular memutuskan hak untuk diterima dan didaftar sebagai peguam syarie untuk menjalankan amalan guaman di Mahkamah Syariah samalah saperti mencampuri dan menceroboh bidangkuasa Mahkamah tersebut.

Persoalan yang perlu ditanya, kalau Mahkamah sekular boleh menentukan kelayakan seseorang untuk menjadi peguam syarie di mana-mana Mahkamah Syariah, maka adakah Mahkamah Syariah berbidangkuasa untuk menentukan kelayakan seseorang untuk memohon menjadi seorang peguam di Mahkamah sekular. Bolehkah seseorang memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak menentukan kelayakan dia menjalankan 'amalan guaman di Mahkamah sekular? Jawapannya jelas, sudah tentu tidak! Jadi adalah tidak menasabah untuk sesebuah Mahkamah sekular menentukan kelayakan masuk seseorang peguam syarie untuk menjalankan 'amalan guaman di mana-mana Mahkamah Syariah!


5. Hukum syara'

Selanjutnya, bagaimanakah seorang bukan Islam mahu menjalankan amalan guaman syarie dan mengendalikan kes-kes syariah di Mahkamah Syariah; sedangkan teras kepada sistem perundangan di Mahkamah Syariah ialah Al Quran dan hadis? Apakah mereka mahu menafsir dan mengajar kita umat Islam tentang hal hukum hakam dan perundangan Islam. Bagimana mereka mahu menafsir Al Quran dan hadis Rasulullah.

Asas kepada hukum syara' ialah aqidah, tauhid! Keimanan dan keyakinan kepada hukum ALLAH. Bagaimana seorang kafir yang tidak sedikit pun percaya dan beriman kepada Al Quran dan hadis mahu mengamalkannya di Mahkamah Syariah?

Bagaimana pula dalam keadaan hukum syara' yang bercanggah dengan undang-undang sekular? Contohnya seorang lelaki yang pemabuk dan penjudi tidak layak mendapat hak penjagaan atau hadhanah anaknya, sedangkan dibawah undang-undang sekular, pemabuk dan penjudi tidak menjadi kriteria penentuan hak jagaan anak! Bagaimana wanita yang tidak menurut hukum syara', contohnya keluar rumah tanpa izin suami. Itu menjadi alasan untuk sabitan nusyuz dalam hukum syara', sedangkan ianya bukan isu pun didalam undang-undang sekular. Bagaimana keadaan pembahagian pusaka lelaki dan wanita, yang jelas dan qat'i didalam Al Quran satu bahagian wanita bersamaan dengan dua bahagian lelaki. Ini bertentangan dengan undang-undang sekular. Dan banyak lagi keadaan dimana hukum syara' bercanggah dengan
dan tidak sama dengan undang-undang sekular. Apakah peguam-peguam kafir yang tidak beriman ini akan membawa tafsiran baru kepada hukum syara'?

Saya tidak nampak rasional dan alasan yang menasabah untuk seseorang kafir dan bukan Islam untuk menjalankan 'amalan guaman syarie dan mengendalikan kes-kes syariah di Mahkamah Syariah yang menjadikan Al Quran dan hadis sebagai sumber perundangan; dalam keadaan asas keimanan dan keyakinan serta aqidah yang menjadi tunjang kepada hukum syara' tidak ada pada para peguam kafir dan bukan Islam ini!


6. Rumusan

Saya sebenarnya sangat hairan dan pelik dengan pendirian golongan kafir dan bukan Islam yang ada dalam negara ini. Mereka tidak pernah mengiktiraf Mahkamah Syariah. Sudah beberapa kali kes-kes yang membabitkan hukum syara' dan sepatutnya dibawa ke Mahkamah Syariah mereka pertikaikan.

Contohnya kes murtadnya Azlina Jailani yang mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Negara yang tidak mahu menukarkan butiran pendaftaran namanya daripada Azlina Jailani kepada Lina Joy kerana murtad selagi tidak mendapat kelulusan MAIWP dan Mahkamah Syariah. Kita menegaskan bahawa kes seumpama itu sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Syariah untuk menentukan kesahihan murtadnya Azlina. Tetapi puak-puak kafir ini bertegas bahawa ianya patut dibicarakan di Mahkamah sekular!

Sebagaimana berlaku didalam kes Mohd. Moorthy Abdullah yang dikatakan meninggal dalam keadaan sudah memeluk agama Islam. Puak-puak bukan Islam bertegang urat menyatakan keluarga Allahyarham Mohd. Moorthy tidak boleh dibawa kehadapan Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah kononnya tidak mempunyai bidangkuasa terhadap non-Muslim!

Begitu jugalah didalam kes S. Shamala banyak lagi kes hak penjagaan anak-anak dimana pasangan masing-masing telah memeluk Islam; apabila ditegaskan isu itu sepatutnya dibawa ke Mahkamah Syariah, golongan kafir mendakwa Mahkamah Syariah tidak berhak dan tidak mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan bukan Islam!

Tetapi bila datang kepada isu untuk menjadi seorang peguam syarie, mereka menyatakan mereka berhak untuk didaftarkan dan diterima untuk menjalankan 'amalan guaman syarie di Mahkamah Syariah!! Tidakkah ini suatu sikap hipokrit, double standard?!

Sekiranya timbul sesuatu isu atau keperluan untuk seorang peguam sekular dan bukan Islam untuk hadir di Mahkamah Syariah untuk sesuatu kes atau mewakili kliennya, mereka boleh pada bila-bila masa melantik seorang Peguam Syarie yang bertauliah untuk mengendalikan isu atau kes itu di mana-mana Mahkamah Syariah. Sebagaimana yang berlaku di Mahkamah sekular dilain-lain tempat. Contohnya kalau seorang rakyat Malaysia mempunyai satu kes di Australia, beliau dan peguamnya di Malaysia boleh melantik dan mengarahkan seorang peguam yang mempunyai tauliah di Australia untuk mewakili mereka dan mengendalikan kes mereka dimana-mana Mahkamah di Australia. Ini masalah kecil, beribu Peguam Syarie yang bertauliah, berwibawa dan berkaliber yang mempunyai tauliah untuk menjalankan khidmat guaman syarie dan mengendalikan kes-kes syariah dimana-mana Mahkamah Syariah dalam negara ini.


7. Saranan & Penutup


Saya menegaskan bahawa Mahkamah sekular sepatutnya menolak permohonan untuk mencabar peruntukan perundangan syariah di Wilayah Persekutuan yang jelas meletakkan syarat seseorang itu mestilah beragama Islam sebelum boleh dipertimbangkan untuk emnjadi seorang peguam syarie. Peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara ini adalah jelas bahawa hak dan bidangkuasa penentuan kelayakan penerimaan seseorang sebagai peguam syarie adalah terletak dibawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Kedua, saya mencadangkan semua negeri yang belum meletakkan pra-syarat sebagai seorang Muslim untuk menjadi peguam syarie supaya segera menggubal undang-undang untuk meletakkan syarat tersebut dengan segera. Penyeragaman dan penyelarasan peruntukan ini disemua enakmen negeri perlu dilaksanakan segera.

Ketiga, saya berpendapat sudah tiba masanya peruntukan Perlembagaan dipinda dengan mengadakan suatu peruntukan yang jelas untuk membezakan bidangkuasa diantara Mahkamah Syariah dan Mahkamah sekular! Kelihatan walaupun Mahkamah Persekutuan sudah membuat keputusan yang jelas, dan peruntukan Artikel 121 (1A) telah diadakan, namun masih ada pihak yang kelihatan masih kelabu dan mencabar institusi dan kedudukan Mahkamah Syariah.

Keempat, saya menyarankan supaya pihak badan kehakiman syariah dan sekular segera mengadakan satu dialog dan perbincangan untuk memperjelaskan kdudukan dan bidangkuasa masing-masing kerana masih lagi ada yang keliru dengan kedudukan dan perbezaan bidangkuasa kedua-dua institusi tersebut.

Kelima, saya menyarankan supaya Majlis Raja-Raja supaya memantau perkara pertindihan dan pertikaian saperti ini dan segera mengambil tindakan yang sewajarnya sebelum keadaan menjadi berlarutan dan isu tersebut diputarbelitkan dan dipolitkkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Wassalam.

No comments: