Saturday, July 31, 2010

Batal kontrak pasir: Resvil saman Kumpulan Semesta

SHAH ALAM 30 Julai - Sebuah syarikat pembinaan hari ini memfailkan saman terhadap Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) bagi menuntut ganti rugi lebih RM1.3 juta atas dakwaan anak syarikat kerajaan negeri Selangor itu telah membatalkan kontrak melombong pasir secara tidak sah.

Resvil Holding Sdn. Bhd., (Resvil) selaku plaintif memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Adnan Sharida & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Resvil, Datuk Suhaime Saad.

KSSB yang dinamakan sebagai defendan merupakan anak syarikat kerajaan negeri Selangor yang menguruskan aktiviti perlombongan pasir di negeri berkenaan.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, syarikat tersebut telah ditawarkan kontrak melombong pasir di Lot 6232, Mukim Bestari Jaya yang berkeluasan 10.11 hektar oleh KSSB pada 16 Disember 2008.

Pada awal Disember tahun yang sama, plaintif juga telah menandatangani Dokumen Tender berkaitan dengan kontrak melombong pasir termasuk terma-terma dan syarat-syarat berkaitan.

Dakwa plaintif, syarikat itu telah membayar bon pelaksanaan sebanyak RM360,000 kepada defendan melalui dua kali bayaran selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk mengubah cara pembayaran daripada jaminan bank kepada potongan pembayaran kontrak.

Plaintif turut menyatakan, pada peringkat permulaan KSSB telah mencadangkan kepada pihaknya untuk melantik satu syarikat luar sebagai subkontraktor dan cadangan tersebut dipersetujui oleh Resvil.

Bagaimanapun selepas lapan bulan beroperasi, plaintif mendakwa telah menerima salinan notis penamatan kontrak melombong pasir bertarikh 23 September tahun lalu berkuat kuasa dalam tempoh sebulan.

Alasan yang diberikan oleh KSSB adalah Resvil telah melantik pihak ketiga sebagai subkontraktor bagi kontrak melombong pasir itu.

Plaintif mendakwa bahawa penamatan kontrak tersebut adalah tidak sah, salah dan merupakan satu konspirasi antara KSSB dengan syarikat subkontraktor tersebut.

Ini kerana, KSSB telah mengetahui mengenai kewujudan subkontraktor tersebut sejak mula lagi malah anak syarikat kerajaan negeri itu yang mencadangkan pelantikan tersebut.

Ekoran penamatan kontrak itu, plaintif telah mengalami kerugian dari segi keuntungan bagi baki empat bulan yang dikira secara purata.

Defendan juga didakwa enggan atau gagal membuat pembayaran tuntutan bon pelaksanaan walaupun telah diminta berbuat demikian oleh plaintif melalui surat bertarikh 1 Oktober tahun lalu.

Oleh itu, Resvil menuntut bon pelaksanaan berjumlah RM360,000 selain ganti rugi khas sebanyak RM1,013,529.60 bagi kehilangan keuntungan.

Syarikat itu turut menuntut ganti rugi am, faedah sebanyak lapan peratus dari tarikh hari ini, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

No comments: