Oleh: DMKT
1. Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung sekarang ini telah memukau jutaan rakyat Malaysia termasuk pemimpin politik. Saya berharap pasukan Sepanyol akan layak ke perlawanan akhir dan seterusnya akan menjuarai Piala Dunia.
2. Sepanyol dan Holland telah menunjukkan kemampuan mereka mengeskploitasi kebolehan, kemahiran dan kreativiti para "bintang" untuk bergerak sebagai sebuah komponen yang mantap. Di sinilah sedikit kelebihan kedua-dua pasukan ini berbanding Jerman yang dibarisi pemain muda dan bergerak sebagai satu unit tetapi kekurangan pengalaman dan kreativiti pemain.
3. Seharusnya Piala Dunia kali ini sedikit sebanyak memberi iktibar kepada pemimpin politik di negara ini. Beberapa keputusan menyaksikan pasukan yang dianggap pilihan kerana pemain "bintang" atau (seperti kata YAB Perdana Menteri) Primadona tidak menjamin kejayaan sesebuah pasukan. Tersingkirnya pasukan Argentina, Brazil, Itali, Perancis dan England menunjukkan dalam permainan berpasukan, primadona sahaja tidak cukup tanpa strategi, taktikal dan pengurus yang baik.
4. Dalam politik juga demikian rupa. Banyak primadona-primadona dalam Barisan Nasional yang kalah dalam pilihan raya 2008 akibat dari kepercayaan bahawa nama besar mereka sudah cukup untuk menjamin kejayaan. Ada pula yang percaya hanya kerana populariti individu tertentu maka parti akan menang mudah namun kemenangan sesuatu parti sebenar memerlukan kerja keras, tersusun dan berstrategi oleh jentera parti.
5. Ia juga tidak terkecuali kepada parti lawan. Pada 1999,ketika diramalkan BN akan mengalami kekalahan teruk, tapi nama-nama besar DAP termasuk YB Karpal Singh dan YB Lim Kit Siang tumbang. Demikian juga kerajaan negeri Terengganu pimpinan Pas turut tumbang pada pilihan raya 2004.
6. Pada 2004, BN dikatakan pilihan untuk menang di Kelantan namun kekurangan semangat berpasukan berbanding Pas menyebabkan ia kalah dengan satu kerusi. Kita juga lihat bahawa kekalahan BN di beberapa negeri sungguhpun disebabkan pelbagai faktor negeri dan nasional namun kesan besar berlaku akibat kurangnya semangat berpasukan dan kasih sayang dalam parti sejak kemenangan besar 2004.
7. Kelihatannya dalam politik hampir sama seperti bola sepak, sungguhpun kita memerlukan calon-calon yang popular atau bertaraf bintang, namun tanpa kerjasama berpasukan yang kuat dalam parti, yang popular pun boleh kalah.
8. Barisan Nasional mempunyai ramai pemimpin yang baik dan popular, namun sejauh mana ia mampu bergerak sebagai satu pasukan yang mempunyai strategi dan taktikal yang mantap bagi menghadapi parti lawan akan menjadi penentu kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
9. Senario dalam politik juga hampir seperti bola sepak iaitu pasukan yang menyerang selalunya mempunyai kelebihan walaupun bukan satu kepastian. Terlalu banyak bertahan akan mudah dikalahkan seperti yang berlaku kepada pasukan slovakia dalam Piala Dunia kali ini dan BN pada pilihan raya 2008.
10. Terlalu banyak menyerang pula akan mudah diserang balas secara mengejut seperti mana berlaku dalam perlawanan England dan Jerman dan Sepanyol menentang Switzerland dalam piala dunia kali ini.
11. Justeru politik juga memerlukan satu adunan yang terbaik antara kekuatan individu, strategi pasukan dan kepakaran teknikal pemimpin untuk membantu kemenangan parti.
No comments:
Post a Comment