Friday, July 30, 2010

Maria Tunku Sabri Gagal Tuntut Penyelesaian Perjanjian Pampasan RM5.5jjuta

KUALA LUMPUR 30 Julai - Personaliti TV3, Maria Tunku Sabri hari ini sekali lagi gagal dalam usaha menuntut penyelesaian perjanjian pampasan RM5.5 juta daripada seorang ahli perniagaan yang didakwa memungkiri janji untuk berkahwin.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak saman beliau selaku plaintif terhadap Datuk Wan Johani Wan Hussin.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd. Yusof membuat keputusan itu atas alasan perjanjian tersebut tidak sah, bersifat pramatang dan mendapati Wan Johani selaku defendan tidak pernah mengingkari perjanjian seperti yang didakwa oleh plaintif.

Sehubungan itu Zabariah memerintahkan supaya bekas pengacara rancangan 'Jalan-Jalan Cari Makan' itu membayar kos guaman RM10,000 bagi tindakan tersebut.

Keputusan yang dibuat di kamar beliau, dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Akbardin Abdul Kader dan Jagjit Singh yang mewakili Wan Johani, 57. Maria diwakili peguam Sangeet Kaur Deo.

Menurut Akbardin, Zabariah juga memutuskan bahawa Maria, 40, tidak berada dalam kapasiti yang membolehkan dirinya terlibat dalam perjanjian itu disebabkan dia adalah seorang wanita Islam yang sudah bersuami.

''Seksyen 14(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 jelas menyatakan bahawa seorang perempuan Islam tidak boleh berkahwin lain selagi perkahwinan asalnya masih wujud.

''Zabariah juga menyifatkan pembelaan Maria bahawa dia akan berpisah dengan suaminya juga bersikap pramatang kerana mereka masih berkahwin dan tiada kepastian bahawa suaminya akan menceraikan dia memandangkan hak cerai terletak pada suami,'' kata Akbardin.

Jagjit pula menjelaskan persoalan mengenai kepastian adalah isu penting dalam perjanjian dan mahkamah berpendapat ia adalah mustahil kerana Maria masih isteri yang sah kepada Ahmad Nazri Abd. Malek dan hak untuk bercerai tidak terletak di tangannya.

Maria dan Wan Johani tidak hadir ketika keputusan tersebut dibuat.

Sementara itu Sangeet ketika ditanya sama ada Maria akan memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut berkata, pihaknya perlu mendapatkan arahan lanjut terlebih dahulu.

No comments: